Tuesday, November 26, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    300 pokok ditanam sokong Projek Alam Mampan BIBD

    TUTONG, 3 OKT – Sebanyak 300 pokok telah ditanam pada acara penanaman pokok anjuran Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) sebagai sebahagian daripada komitmen berterusannya terhadap kelestarian alam sekitar, baru-baru ini.

    Acara penanaman pokok tersebut diadakan di Sungai Penyatang, Tutong, sebagai sebahagian daripada inisiatif 660 Roots to a Greener Future di bawah projek alam sekitar BIBD, Projek Alam Mampan.

    Majlis tersebut dihadiri oleh Raes Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani selaku Pengerusi Badan Penasihat Syariah BIBD dan Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awangku Arif Anuar bin Pengiran Haji Ahmad. Turut hadir ialah ahli-ahli Badan Penasihat Syariah BIBD, pengurusan kanan dan kakitangan bank.

    Selaras dengan komitmen BIBD dalam memupuk kelestarian merentasi generasi, sukarelawan dari Universiti Brunei Darussalam (UBD), KUPU SB, dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) turut mengambil bahagian dalam aktiviti tersebut. BIBD berharap untuk mendidik pemimpin muda mengenai kepentingan tindakan kecil tetapi bermakna bagi menjamin masa depan yang lestari.

    Projek Alam Mampan BIBD akan terus mengembangkan usahanya melalui inisiatif seperti Program Bola Terumbu Karang BIBD bagi pemuliharaan habitat laut dan projek pemulihan hutan bakau yang akan datang.

    Usaha itu menggariskan dedikasi BIBD dalam memelihara alam sekitar dan mengukuhkan lagi peranannya sebagai warganegara korporat yang bertanggungjawab, komited untuk mewujudkan masa depan yang lebih hijau dan mampan untuk negara.

    Antara peserta yang hadir pada acara penanaman pokok BIBD. – GAMBAR SERAHAN BIBD
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda