Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JAN – Penyertaan para peserta dalam Kursus Maktab Turus Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) memberikan peluang kepada mereka untuk memperkayakan kaedah pembelajaran dan pengetahuan dengan lebih mendalam sebagai usaha untuk membantu mereka melaksanakan tugas masing-masing.
Pada masa yang sama, penyertaan dalam kursus itu, yang merupakan titik perubahan dalam kerjaya profesional dan peribadi ketenteraan mereka, akan membantu menyediakan kaedah untuk memupuk dan mengasah lagi kemahiran komunikasi, membuat keputusan analitikal, intelek yang berkesan serta pemerintahan mereka.
Perkara itu dinyatakan oleh Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan ketika berucap pada Majlis Pembukaan bagi Kursus Maktab Turus ke-13 yang berlangsung di Akademi Pertahanan ABDB, hari ini.
Beliau menambah bahawa semua itu adalah amat penting bagi mereka sebagai pemimpin masa hadapan yang akan membentuk hala tuju organisasi masing-masing.
Turut hadir ialah Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Hazri bin Haji Kifle, pemerintah-pemerintah angkatan tentera, pemerintah Markas Angkatan Bersama ABDB, Timbalan Pesuruhjaya Polis Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), pegawai-pegawai kanan, penasihat atau atase pertahanan asing ke Negara Brunei Darussalam serta wakil-wakil dari pejabat suruhanjaya tinggi dan kedutaan besar di Negara Brunei Darussalam.
Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi dalam ucapannya menyatakan bahawa kita sentiasa berhadapan dengan perubahan dramatik dalam pembangunan geostrategik yang terus menjana sebuah persekitaran sekuriti yang sentiasa berubah di mana ia menguji struktur dan mekanisme sekuriti sedia ada kebangsaan, serantau serta global.
Sebahagian daripada cabaran ini, ulasnya, adalah di luar kawalan kita dan tidak dapat diselesaikan hanya dengan menggunakan kuasa atau pendekatan konvensional.
Mengambil maklum mengenai perkara itu, tambah beliau lagi, adalah penting supaya kita menjangkakan dan bersedia bagi perubahan-perubahan dalam keperluan sekuriti serta pertahanan.
Ke arah itu, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi berkata, maktab turus bersama-sama dengan UBD secara aktif mengemas-kinikan kurikulum dengan menjadikan subjek tambahan seperti memasukkan model kepimpinan ABDB dan menumpukan kepada subjek-subjek yang relevan untuk memenuhi permintaan Kertas Putih Pertahanan 2021 bagi menyediakan keperluan sekuriti dan pertahanan masa hadapan.
Majlis kemudian menyaksikan pengibaran bendera-bendera negara yang mana melambangkan kerjasama yang kukuh antara negara-negara yang mengambil bahagian dalam kursus dan menekankan kepentingan bagi peserta-peserta kursus untuk menjalin persahabatan yang kukuh di sepanjang menjalani kursus mereka.
Seramai 35 orang pegawai menyertai kursus pada 2023 termasuk 18 orang pegawai ABDB, seorang pegawai PPDB dan 16 orang pegawai tentera antarabangsa dari 14 buah negara iaitu Australia, Republik Rakyat Bangladesh, Republik India, Republik Indonesia, Kerajaan Jordan, Republik Korea, Malaysia, Kesultanan Oman, Republik Islam Pakistan, Republik Filipina, Kerajaan Arab Saudi, Republik Singapura, Kerajaan Thailand dan Amerika Syarikat.
Kursus Maktab Turus sesi ke-13/2023 merupakan kursus selama 40 minggu yang dikendalikan dengan kerjasama UBD bagi tahun kelima sebagai pembekal akademik utama, bertujuan memperluaskan pengetahuan profesional dan akademik peserta kursus ke arah persekitaran strategik kontemporari dan memberi penekanan mengenai kesannya terhadap tugasan mereka sebagai pakar dalam bidang pertahanan dan keselamatan.
Di penghujung kursus berkenaan, peserta-peserta kursus yang berjaya akan dianugerahkan Diploma dalam Pengajian Pertahanan dan Sekuriti daripada UBD dengan peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Pengajian Pertahanan dan Sekuriti.