Sunday, March 16, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    36 sertai program perkampungan sivik

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Seramai 36 orang peserta Program Perkampungan Sivik Lepasan Ijazah yang terdiri daripada lepasan-lepasan ijazah dari institusi-institusi pengajian tinggi dari dalam dan luar negara telah mendengarkan beberapa siri taklimat yang diadakan di Auditorium Bangunan Tambahan Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), hari ini.

    Antara taklimat yang disampaikan adalah mengenai Wawasan Brunei 2035 yang dijelaskan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, Sekretariat Tetap Wawasan Brunei 2035, Dayang Amelina binti Haji Tengah.

    Taklimat Kenegaraan pula disampaikan oleh Penolong Pegawai Penerangan, Hajah Noorhijrah bin Haji Idris yang mengongsikan tentang tanggungjawab negara kepada rakyat yang bermatlamat untuk memberi perlindungan, jaminan dan kesejahteraan serta menyediakan kemakmuran dan juga kebajikan demi menjaga keselamatan, keamanan dan ketenteraman.

    Sesi taklimat pada pagi hari kedua program diakhiri dengan perkongsian ceramah motivasi oleh Pemangku Ketua Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor.

    Pada sebelah petang pula, para peserta mengadakan lawatan ke Bangunan Darussalam Enterprise (DARe) di Kampung Anggerek Desa di mana mereka turut berpeluang mendengarkan taklimat mengenai perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang disampaikan oleh Pengurus DARe, Dayangku Hajah Normadinah binti Pengiran Haji Omarali.

    Program yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan, JPM melalui Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan tersebut berjalan selama enam hari dan akan berakhir pada 4 Oktober depan.

    Ia diadakan sebagai satu platform ataupun landasan ke arah melengkapkan para peserta program untuk mampu berdaya saing dan mendepani segala cabaran serta merebut segala peluang pekerjaan.

    Antara peserta yang menyertai program perkampungan sivik berkenaan.
    Haji Ali Yusri ketika menyampaikan ceramah motivasi.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda