Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Empat lelaki tempatan berusia antara 17 hingga 53 tahun telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian semasa operasi serbuan mengejut di Bangku Nombor 67 di Pasar Gadong, kelmarin.
Serbuan dijalankan oleh pegawai dan keanggotaan daripada Unit Siasatan Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat (USPPPM) dengan bantuan Unit Siasatan Pecah Rumah serta Curi Kereta dan Bahagian Jenayah Perdagangan, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), hasil maklumat orang ramai.
Menurut PPDB, hasil perisikan dan pemantauan, kegiatan perjudian yang dijalankan adalah jenis permainan judi katam-katam.
Perjudian dimainkan bukan secara tradisional yang memerlukan kain judi, dadu dan sebagainya, malah menggunakan aplikasi dinamakan Real Fish Prawn Crab dalam telefon bimbit.
Kesemua suspek dan barang-barang bukti dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah di Gadong, bagi menjalani siasatan lanjut. Kesemua suspek akan disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah-rumah Perjudian Terbuka Penggal 28.
PPDB menegaskan bahawa pihak mereka akan sentiasa membuat pemantauan dan risikan serta akan mengambil tindakan pada setiap kegiatan jenayah yang menyalahi undang-undang di negara ini.
Orang ramai disarankan agar dapat memberikan apa jua jenis maklumat dengan mengongsikan ke talian kecemasan 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.