Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Seramai 50 orang penuntut dan guru telah menyertai Program Pengurusan Risiko Bencana Peringkat Sekolah (SBDRM) yang berlangsung selama dua hari di Sekolah Rendah (SR) Pengiran Anak Puteri Besar, Sungai Kebun, Daerah Brunei dan Muara.
Program tersebut diadakan kelmarin dan hari ini dianjurkan oleh Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dengan kerjasama pihak Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan.
Peserta program berkenaan adalah terdiri daripada penuntut dan guru SR Saba Darat, SR Sungai Siamas, SR Pehin Dato Jamil, SR Bendahara Lama, SR Haji Tarif, SR Pintu Malim dan SR Pengiran Anak Puteri Besar.
Sehubungan dengan itu, majlis penutup dan penyampaian sijil bagi peserta program telah diadakan di SR Pengiran Anak Puteri Besar, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil serta penghargaan kepada para peserta dan fasilitator program ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) di KHEDN, Dayang Nor Hamidah binti Haji Hamidon.
Sepanjang program dua hari berkenaan, para penuntut dan guru berpeluang untuk mengetahui mengenai fungsi dan peranan NDMC di samping meningkatkan pengetahuan dan kesiapsiagaan mereka dalam mengenal pasti risiko serta membuat tindakan yang betul supaya sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kejadian bencana.
Selain daripada itu, para pelajar juga berpeluang mengikuti latihan berkumpulan seperti aktiviti Do’s and Dont’s sebelum, semasa dan selepas kejadian bencana, Nature Power, Penyediaan Greab Bag, Hazard Visit dan membentuk pelan tindakan dalam kesiapsiagaan warga sekolah bagi menghadapi bencana di peringkat sekolah.
NDMC akan sentiasa beker-jasama dengan agensi-agensi berkepentingan dalam menangani kejadian bencana di negara ini.
Program SBDRM telah dilaksanakan bagi mencapai hasrat ke arah membina masyarakat yang berdaya tahan dalam menghadapi apa jua cabaran bencana yang berkemungkinan berlaku.
Dengan pengetahuan dan pengalaman yang telah diperoleh semasa program SBDRM, ia diharap akan dapat dijadikan sebagai panduan bagi mengurangkan impak bencana kepada warga sekolah di negara ini.