Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    6 ditahan mengedar dadah

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 NOV – Enam orang individu warga tempatan berumur 21 hingga 31 tahun telah ditahan oleh Biro Kawalan Narkotik (BKN) kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

    Turut ditahan ialah seorang lelaki berumur 52 tahun, iaitu bapa kepada salah seorang tangkapan kerana turut terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

    Suspek utama merupakan seorang warga tempatan berumur 23 tahun yang telah ditahan oleh Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) di Pos Kawalan Sungai Tujoh, Daerah Belait semasa pemeriksaan rutin dijalankan ke atas kenderaan-kenderaan yang memasuki Negara Brunei Darussalam pada 15 November.

    Suspek didapati menyembunyikan sebanyak 2,038.59 gram syabu dan 3,071.20 gram ganja di dalam kenderaan yang digunakan untuk diseludup masuk ke negara ini.

    Dadah syabu yang dirampas itu dianggarkan bernilai lebih dari $390,000 di pasaran, manakala dadah ganja yang dirampas dianggarkan bernilai lebih dari $45,000. Kedua-dua jumlah dadah yang dirampas masing-masing boleh menampung lebih dari 1,500 orang penagih dadah.

    Antara dadah dan peralatan yang dirampas semasa serbuan yang dijalankan pegawai BKN. – GAMBAR SERAHAN BKN
    GAMBAR SERAHAN BKN
    GAMBAR SERAHAN BKN

    Dari siasatan lanjut yang dijalankan, BKN telah menahan enam orang lagi tangkapan yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah yang dijalankan oleh suspek utama.

    Hasil serbuan yang dijalankan pada 16 dan 17 November, BKN telah merampas 296.14 gram ganja, 68 biji pil Erimin 5, satu pohon tanaman ganja berukuran kira-kira 1.5cm, dua unit telefon bimbit, wang tunai berjumlah $809, tiga unit alat timbangan digital, alat-alat dipercayai digunakan untuk memproses dadah iaitu pemotong dan paket-paket plastik.

    Turut dijumpai dan dirampas ialah satu pohon tanaman ganja berukuran kira-kira 1.5cm dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk menanam ganja iaitu dua buah kipas, satu unit lampu jenis LED.

    Suspek utama akan disiasat di bawah Seksyen 5, Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27 atas kesalahan membawa masuk dadah terkawal ke Negara Brunei Darussalam, yang mana, jika sabit kesalahan dengan jumlah dadah yang dirampas, boleh membawa hukuman gantung sampai mati.

    Manakala, salah seorang individu yang ditangkap akan turut disiasat di bawah Seksyen 3A, Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27 atas kesalahan memiliki dadah terkawal bagi tujuan mengedar, yang mana, jika sabit kesalahan, boleh membawa hukuman maksimum 20 tahun penjara dan 15 sebatan dan hukuman minimum lima tahun penjara dan lima sebatan.

    Siasatan pihak BKN juga mendapati bahawa dalang utama kes ini merupakan seorang warga tempatan berumur 24 tahun yang kini berada di luar negara.

    Beliau diketahui menjalankan aktiviti pengedaran dadah secara dalam talian dengan mengarahkan orang-orang yang dipercayai untuk menjalankan aktiviti mengedar dadah di negara ini dengan kadar bayaran yang tinggi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...