MADRID, 27 MAC – Jaringan lewat Brazil menjadikan keputusan seri 3-3 dengan Sepanyol dalam perlawanan yang menghiburkan dan kadangkala hangat dengan aksi dua pemain muda, Lamine Yamal dan Endrick, kelmarin.
Pemain tengah Manchester City, Rodri membuka jaringan melalui sepakan penalti pada minit ke-12 selepas pemain sayap, Yamal dijatuhkan di dalam kotak penalti dan Dani Olmo melebarkan kedudukan di hadapan Sepanyol dengan jaringan yang baik.
La Roja menguasai separuh masa pertama apabila hampir tidak memberikan Brazil mencipta peluang dalam perlawanan kali kedua ini.
Kesilapan penjaga gol Sepanyol, Unai Simon membenarkan Rodrygo menjaringkan satu gol sebelum rehat dan pemain sensasi remaja, Endrick, sebagai pemain gantian, membuat jaringan menyamakan kedudukan Brazil lima minit memasuki babak kedua.
Rodri membuat jaringan kedua dari sepakan penalti pada lewat permainan selepas Dani Carvajal dibentes oleh Lucas Beraldo.
Vinicius menjadi kapten Brazil buat kali pertama tetapi kurang menonjol sedangkan rakan senegaranya yang muda, Endrick, terus diberi tumpuan, bersama pemain muda Barcelona, Yamal.
Yamal yang berusia 16 tahun berjaya mendapatkan penalti yang disempurnakan oleh Rodri untuk gol pembukaan, dan membantu Olmo untuk gol kedua.
Endrick dimasukkan pada separuh masa kedua dan tidak menunggu lama untuk melakukan rembatan voli masuk ke dalam gawang apabila bola dari sepakan sudut menghala ke arahnya.
Sebagai penutup, pasukan pelawat memperoleh gol lewat dari penalti dalam masa kecederaan apabila Galeno dikasari sebelum sepakan penalti disempurnakan oleh Paqueta. – AFP