Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC –Seramai 60 belia telah menghadiri program bertemakan No Bad Projects yang diadakan di The Vue Space baru-baru ini, yang merupakan platform perkongsian pengetahuan, pandangan, dan inspirasi mengenai projek-projek tempatan kepada profesional kreatif, pelajar, dan belia.
Program berkenaan adalah inisiatif daripada sebuah organisasi bukan kerajaan tempatan bergelar Just Bruneians di mana kumpulan ini bertujuan untuk membudayakan kreativiti agar warga belia terus mendapat inspirasi, maklumat dan menjadi platform untuk berhubung dengan klien serta kreatif tempatan yang lain.
Program berkenaan diisi dengan perbincangan merangkumi topik seperti penceritaan, perwakilan budaya, dan industri kreatif yang sedang berkembang di Brunei.
Antara penceramah semasa program tersebut ialah pemuzik tempatan, Swanz yang telah berkongsi proses menghasilkan lagu hitnya, Majal; Amal pula yang mengendalikan akaun TikTok Baru nah! Brunei; pengarah dan sinematografer pemenang anugerah AITI, Mancientry; Nur Aqilah Ali yang merupakan CEO Kitani Kreatif dan juga lain-lain wakil dari organisasi kreatif.
Selain itu, penceramah lain termasuk Hana Ghani, pengasas Meet Lit, Wafi Rusli dari Showtime Creative Entertainment Services, Ismail dari Gully Studios, Haris dari Periodictableco, Haziqah Designs dan Tina Afiqah dari Parabelle Studios.
Program berkenaan diakhiri dengan sesi rangkaian terbuka di mana para belia dapat berhubung dengan peserta lain di bawah kendalian Fadli M Za dari Young Professionals Network Brunei (YPN).
Pengasas Just Bruneians, Liyana Hanif turut berkongsi, “acara ini adalah peringatan bahawa kreativiti bukan hanya tentang bakat, tetapi tentang mempunyai keberanian untuk mencipta, berkongsi, dan berkembang dengan setiap projek yang awda jalankan”.
Turut serta dalam jawatankuasa penganjur utama adalah Hazirah Marzuke sebagai ketua laman web, dan Faiq Airudin sebagai ketua kandungan.
Acara yang dianjurkan sebelum ini Hari Kerjaya Profesional Kreatif, yang juga merupakan sebahagian daripada Program Literasi Digital ASEAN serantau.
Semua di atas: Antara suasana semasa program berkenaan. – GAMBAR-GABMAR SERAHAN JUST BRUNEIANS