Saturday, October 12, 2024
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    606 pelajar sertai Taklimat Pemuliharaan Marin

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BELAIT, 31 JULAI – Seramai 606 pelajar dari Tahun 7 hingga 11 Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, (SM PAPHRSB) Lumut, baru-baru ini, telah berpeluang menimba pengetahuan tentang terumbu karang, ancaman yang dihadapi, dan potensi penyelesaian dengan tumpuan kepada tukun tiruan menerusi Taklimat Pemuliharaan Marin bersempena bermulanya Minggu Sains SM PAPHRSB.

    Dalam taklimat berkenaan, para pelajar didedahkan dengan bagaimana bebola terumbu dapat memulihkan terumbu karang, meningkatkan populasi ikan, melindungi pantai daripada hakisan, meningkatkan bilangan penyu dan memulihkan hutan bakau, dengan kejayaan cerita dari seluruh dunia, khususnya Sarawak sejak 30 tahun yang lalu.

    Usaha jangkauan ini, sebahagian daripada Program Sekolah SC Tubular Solutions (B) Sdn Bhd (SCTSB) yang bertujuan untuk mendidik belia Brunei tentang pemuliharaan terumbu menggunakan bebola terumbu dan untuk menggalakkan penjagaan alam sekitar.

    Sebagai sebahagian daripada program ini, Poni Divers dan Poni Foundation merancang untuk mengadakan lapan taklimat sekolah, melatih 42 kakitangan SCTSB dan 126 pelajar tempatan dalam fabrikasi bebola terumbu, penanaman karang, dan penempatan di Pelong Rock dengan sokongan Jabatan Perikanan.

    Program ini bertujuan untuk menggunakan 100 bebola terumbu, setiap satu seberat sekitar 20 kilogram dan mengandungi enam batu karang.

    Taklimat Pemuliharaan Marin yang berlangsung di SM PAPHRSB Lumut. – GAMBAR SERAHAN PONI DIVERS
    Pelajar SM PAPHRSB Lumut yang hadir semasa taklimat berkenaan. – GAMBAR SERAHAN PONI DIVERS
    GAMBAR SERAHAN PONI DIVERS

    Sehingga hari ini, belia dalam program ini telah berjaya mencipta 60 oyster balls, dengan 28 telah digunakan dan 168 coral plugs telah ditanam dan lebih banyak lagi akan datang pada bulan Ogos ini. Ini termasuk taklimat program yang melibatkan kira-kira 1,804 orang pelajar, dari tadika seawal umur lima tahun hingga pelajar universiti tempatan.

    Sesi itu diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Poni Divers dan Pengasas Poni Foundation, Awang Mohd Tahsin Wong Abdullah dan beliau menekankan kepentingan kritikal pemuliharaan lautan dan keperluan untuk tindakan segera bagi menjaga ekosistem marin.

    Pelajar terlibat secara aktif dalam soalan interaktif dan taklimat diakhiri dengan majlis penutup rasmi, yang termasuk penyampaian Reef Ball bercetak 3D kepada Pemangku Pengetua SM PAPHRSB, Awang Ismail bin Yakub, sebagai tanda penghargaan.

    Awang Ismail turut berkata ia suatu yang sangat berwawasan untuk mencipta kesedaran kepada pelajar yang tidak mengetahui isu pemanasan global. Mereka juga tidak menyedari bahawa terumbu karang wujud di Brunei.

    Secara keseluruhannya, taklimat ini berharap dapat memberi impak yang ketara dan memulakan inspirasi untuk bakal penyokong pemuliharaan marin pada masa hadapan sama ada menjadi sukarelawan, mengejar kerjaya dalam bidang berkaitan marin atau menyumbang kepada inisiatif alam sekitar dalam kapasiti lain.

    SCTSB ialah penaja korporat pertama Program Bebola Terumbu Brunei, yang merupakan sebahagian daripada Projek LAUT Brunei, sebuah inisiatif yang diketuai oleh Poni Foundation.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda