Saturday, July 27, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    69 tahun dalam pasaran, rasa Kopi Chop Bukit kekal ‘kaw’

    PASIR PUTEH – Bahang panas daripada pemanggang dan kuali besar untuk menghasilkan serbuk kopi tidak sedikit pun menggusarkan pekerja di kilang Kopi Chop Bukit di sini, demi memastikan produk yang dikeluarkan bermutu tinggi.

    Berada dalam pasaran sejak 1954, Kopi Chop Bukit kini antara lima pengusaha serbuk kopi di Kelantan yang masih kekal beroperasi dan ternyata selama 69 tahun dalam pasaran, rasa kopinya yang ‘kaw’ atau pekat membuatkan ia terus mendapat permintaan daripada pelanggan di sekitar Pantai Timur.

    Pengurus Kopi Chop Bukit, Zulkarnaim Hamid, 50, berkata arwah bapanya Hamid Ahmad memulakan perusahaan kopi itu di Pasir Mas sebelum berpindah ke Pasir Puteh sekitar 1970an dan kilangnya mengeluarkan serbuk kopi halus dan kasar.

    “Kami menggunakan biji kopi jenis robusta yang diimport dari Indonesia. Selain biji kopi, bahan lain yang digunakan untuk menghasilkan serbuk kopi ialah gula, garam dan marjerin,” katanya kepada Bernama di premis pembungkusan kopi itu di Jalan Jelor, Bukit Gedombak di sini, baru-baru ini.

    Beliau berkata jika dahulu, kayu api digunakan untuk proses memanggang dan mengadun biji kopi, namun pihaknya pernah berdepan masalah bekalan kayu api dan membuat keputusan untuk menggunakan diesel, sesuai dengan peredaran zaman.

    Zulkarnaim Hamid menunjukkan biji kopi yang sudah dipanggang. – Bernama
    Pekerja Kopi Chop Bukit menunjukkan biji kopi yang sudah dimasak sebelum dikisar untuk dijadikan serbuk kopi. – Bernama
    Zulkarnaim Hamid menunjukkan pelbagai jenis kopi ketika ditemui Bernama di premis pembungkusan di Jalan Jelor, Bukit Gedombak baru-baru ini. – Bernama
    Pekerja Kopi Chop Bukit, Wan Eri Wan Mohamed, 36, (kiri) bersama Ahmad Khalish Faruqi Mohd Khalid, 24, meratakan biji kopi yang telah dimasak untuk dikeringkan sebelum proses mengisar. – Bernama
    Proses memasak biji kopi yang dicampur dengan gula dan marjerin. – Bernama

    PROSES HASIL KOPI

    Menurut Zulkarnaim, terdapat beberapa langkah perlu dilakukan dalam menghasilkan serbuk kopi bermula dengan proses pertama iaitu memanggang biji kopi, kemudian biji kopi itu akan disejukkan.

    Proses diteruskan dengan mencairkan gula di dalam kawah sebelum biji kopi yang sudah sejuk tadi dimasukkan.

    “Proses ini mengambil masa kira-kira sejam, apabila adunan kopi sudah masak ia akan diangkat dan disejukkan di atas sebuah tempat khas,” katanya dan menambah adunan kopi itu akan mengeras dan memerlukan pekerjanya untuk memecahkan atau mengetuknya menjadi kepingan.

    “Kepingan adunan kopi tadi akan dimasukkan ke dalam mesin pengisar pertama dan mengeluarkan kopi bersaiz kira-kira setengah inci sebelum dikisar kali kedua untuk menghasilkan serbuk kopi halus atau kasar mengikut tempahan atau permintaan pelanggan,” katanya.

    Zulkarnaim berkata secara keseluruhan, penghasilan serbuk kopi bermula dengan proses memanggang sehingga pembungkusan memerlukan kira-kira dua hari untuk siap.

    Biarpun Kopi Chop Bukit tidak lagi dipanggang menggunakan kayu api, beliau berkata resipi turun-temurun masih dikekalkan membuatkan serbuk kopi yang dihasilkan terus mendapat permintaan.

    “Serbuk Kopi Chop Bukit halus dan kasar mempunyai tiga jenis iaitu Gred A, B dan C.

    Setiap gred berbeza mengikut peratusan biji kopi yang digunakan semasa menghasilkan serbuk kopi itu.

    “Variasi serbuk kopi halus dan kasar yang dikeluarkan dalam pelbagai berat seperti 220 gram dan kopi o uncang 10 gram setiap satu. Setiap bulan, Kopi Chop Bukit mengeluarkan kira-kira lapan hingga sembilan tan serbuk kopi kasar dan halus,” katanya.

    Zulkarnaim berkata selain kedai kopi, produk syarikatnya itu juga boleh didapati di beberapa pasar raya di sekitar Pantai Timur. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...