Tuesday, April 30, 2024
25.3 C
Brunei

    -

    7 juri dipilih dalam bicara kes wang sogok dihadapi Trump

    NEW YORK, 17 APRIL – Tujuh juri dipilih dalam perbicaraan kes wang sogok Donald Trump di New York, kelmarin, perbicaraan jenayah pertama terhadap bekas presiden Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita Jerman (dpa). 

    Wakil pendakwaan dan pembelaan serta Hakim Juan Merchan, menemu bual beberapa calon juri sebelum bersetuju dengan tujuh juri kelmarin, selepas tiada calon dipilih pada hari pertama. Pencarian lima lagi juri boleh berterusan selama beberapa hari lagi.

    Trump, yang mengetuai empayar perniagaan hartanah, didakwa dengan 34 tuduhan memalsukan rekod perniagaan sebagai sebahagian daripada skema yang melibatkan bekas peguamnya Michael Cohen untuk menyembunyikan bayaran AS$130,000 yang dibuat kepada bintang filem lucah Stormy Daniels.

    Daniels berkata wang itu diberikan untuk menutup mulut mengenai hubungan sulit beliau dengan Trump pada 2006. Beliau telah mengaku membayarnya menjelang pilihan raya presiden 2016 untuk menghentikan ‘tuduhan palsu dan peras ugut’ tetapi menafikan sebarang pertemuan seksual.

    Trump yang mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu, berdepan hukuman penjara maksimum empat tahun jika sabit kesalahan.

    Menurut mahkamah, perbicaraan boleh berlangsung sehingga lapan minggu sebaik sahaja juri dipilih. 

    Peguam Trump cuba sehingga ke saat akhir untuk mengelak, menangguhkan atau sekurang-kurangnya melewatkan perbicaraan itu. Walaupun selepas sabitan dan dijatuhi hukuman penjara dalam kes itu, Trump masih berpeluang bertanding dalam pilihan raya presiden.

    Beliau juga menghadapi tiga lagi perbicaraan jenayah serta beberapa saman sivil.

    Trump dari parti Republikan dan Presiden AS, Joe Biden dari Demokrat dipilih sebagai calon Pilihan Raya Presiden AS, pada November. 

    Perbicaraan dijadual bersambung pada hari Khamis. – Bernama

    Bekas Presiden AS, Donald Trump menunggu permulaan prosiding pada hari kedua pemilihan juri di mahkamah jenayah Manhattan, kelmarin, di New York. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    PM Jepun nafi akan berundur atas kekalahan partinya dalam pilihan raya...

    TOKYO, 30 APRIL - Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida berkata pada hari ini kekalahan besar parti pemerintahnya dalam pilihan raya kecil hujung minggu lalu...