NEW DELHI, 12 DIS – Pasukan keselamatan India menembak mati tujuh pemberontak Maois dalam satu pertempuran sengit hari ini, ketika pasukan keselamatan meningkatkan usaha untuk menamatkan konflik bersenjata yang telah berlarutan selama beberapa dekad.
Lebih 10,000 orang telah terkorban dalam pemberontakan puluhan tahun yang dimulakan oleh gerakan Naxalite, juga dikenali sebagai pemberontak Maois. Mereka mendakwa memperjuangkan hak masyarakat orang asli yang terpinggir di wilayah-wilayah kaya sumber di tengah India.
Bagaimanapun, pemberontakan itu telah berkurangan secara mendadak dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut data kerajaan, tindakan tegas pasukan keselamatan telah mengorbankan lebih 200 pemberontak sepanjang tahun ini.
Pertempuran terbaharu berlaku di kawasan hutan terpencil di wilayah Bastar, negeri Chhattisgarh, yang menjadi pusat utama pemberontakan itu.
“Setakat ini, tujuh mayat pemberontak Maois yang masih berpakaian seragam telah ditemukan semasa operasi pencarian,” kata Inspektor Jeneral Polis, P Sunderraj kepada AFP, sambil menambah angka korban mungkin meningkat.
Menteri Dalam Negeri India, Amit Shah pada September lalu memberi amaran kepada pemberontak Maois untuk menyerah diri atau berdepan serangan habis-habisan, sambil menyatakan kerajaan dijangka menumpaskan pemberontakan itu menjelang awal 2026.
Gerakan Naxalite, dinamakan sempena daerah tempat kempen bersenjata mereka bermula pada tahun 1967, diilhamkan oleh pemimpin revolusi China, Mao Zedong.
Mereka menuntut tanah, pekerjaan dan bahagian daripada hasil sumber semula jadi yang banyak di wilayah tersebut untuk penduduk tempatan.
Selain itu, gerakan itu turut mendapat sokongan daripada beberapa komuniti terpencil di bahagian timur dan selatan India. – AFP