Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    8,678 pendatang tanpa izin di Sabah dihantar pulang tahun lepas

    KOTA KINABALU, 29 JAN – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah telah melaksanakan penghantaran pulang 8,678 pendatang tanpa izin ke negara asal mereka sepanjang tahun lepas.

    Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata program penghantaran pulang ke negara asal berkenaan dilakukan secara konsisten sekurang-kurangnya dua kali sebulan.

    “Proses penghantaran berkenaan dilaksanakan sebanyak 83 kali iaitu 41 kategori laut (laluan laut) dan 42 kategori udara. Untuk tahun ini kita telah menghantar pulang seba-nyak 1,529 pendatang sehingga 25 Jan lepas,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

    Beliau berkata untuk operasi penguatkuasaan, JIM Sabah telah melaksanakan 1,463 operasi di seluruh Sabah dan sebanyak 30,918 orang telah diperiksa dan 4,108 ditahan serta 22 majikan didakwa atas pelbagai kesalahan.

    Ditanya mengenai kesesakan di depoh tahanan Imigresen di Sabah, SH Sitti Saleha berkata masalah itu tidak lagi berlaku dan situasi itu ketika negara dilanda pandemik COVID-19.

    “Pada masa itu kita tidak dapat melaksanakan program penghantaran pulang disebabkan negara asal mereka tidak membenarkan sesiapa sahaja masuk disebabkan COVID-19 pada ketika itu. Namun kini, kita boleh menghantar mereka dan kesesakan itu tidak berlaku lagi,” katanya.

    Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff pada sidang media, kelmarin. – Bernama

    Sementara itu, SH Sitti Saleha berkata bertindak atas maklumat risikan pihaknya telah menahan empat individu warga tempatan dan 11 warga asing dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran dalam operasi di Penampang dekat sini, Sabtu lepas.

    “Empat individu berkenaan iaitu dua lelaki dan dua wanita berusia 25 hingga 56 tahun dan menjadi dalang membawa masuk warga asing dari Filipina ke Sabah,” katanya.

    Beliau berkata ketika operasi itu pegawainya membuat pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan dipandu dalang kes berkenaan bergerak dari Sandakan menuju Kota Kinabalu dan menemukan sembilan orang warga asing dalam kenderaan tersebut.

    Katanya, sindiket membawa masuk warganegara asing khususnya dari Filipina dengan bayaran sekitar RM1,500 hingga RM2,500 bagi seorang warga asing dengan modus operandi menggunakan Pulau Bakungan Besar, Filipina sebagai transit sebelum memasuki negeri ini.

    “Serbuan dibuat di sebuah rumah dan telah menahan tiga lagi dalang serta empat lagi warga asing yang turut terlibat dalam kes tersebut. Semua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Kota Kinabalu, Sabah untuk siasatan dan tindakan susulan,” katanya.

    Beliau berkata antara kesalahan yang dikenal pasti adalah tiada dokumen pengenalan diri, dan lain-lain kesalahan di bawah Seksyen 55E iaitu membenarkan imigran untuk masuk dan tinggal di premis dan Seksyen 26(A) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 iaitu penyeludupan imigran. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...