Oleh Sim Y. H. & Salawati Haji Yahya
Gambar serahan JIPK BSB & KB
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Sembilan warga asing iaitu enam lelaki dan tiga perempuan ditahan dalam Operasi SAKAT JIPK di tiga lokasi berasingan di Daerah Brunei Muara dan Daerah Belait atas pelbagai kesalahan imigresen, baru-baru ini.
Menurut kenyataan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang (BPU) Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) hari ini, daripada sembilan warga asing itu, lima daripadanya iaitu dua lelaki dan tiga perempuan telah ditahan semasa Operasi SAKAT JIPK 26/2023 yang menyasarkan kedai makan dan minuman di kawasan Mukim Kilanas pada 21 Februari lalu.
Mereka juga dibawa ke BPU JIPK atas kesalahan di bawah Bab 15 (1) Akta Imigresen Penggal 17 iaitu dipercayai tinggal lebih masa di negara ini setelah pas imigresen mereka mansuh.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan penjara tidak kurang tiga bulan dan tidak melebihi dua tahun dan sebat tidak kurang tiga kali sebatan.
Tindakan seterusnya, pas kerja dibatalkan dan diusir dari negara ini dan nama-nama mereka boleh disenarai hitamkan untuk tidak dibenarkan lagi bekerja di Negara Brunei Darussalam.
Sementara itu, semasa Operasi SAKAT JIPK 28/2023 yang menyasarkan tapak perindustrian di kawasan Mukim Serasa pada 22 Februari lalu, pegawai-pegawai BPU JIPK telah mendapati seorang lelaki warga asing melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15 (2) Imigresen Penggal 17 iaitu bekerja bukan dengan majikan asal.
Kesalahan melanggar syarat-syarat pas imigresen boleh dikenakan penjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak lebih $2,000 atau kedua-duanya sekali. Tindakan seterusnya, pas kerja dibatalkan dan diusir dari negara ini.
Mana-mana majikan yang mengambil, menggaji pesalah imigresen boleh dikenakan denda sebanyak $3,000 bagi setiap seorang pesalah imigresen.
Manakala itu, JIPK Kuala Belait telah menahan empat lelaki warga asing dalam Operasi SAKAT JIPK 27/2023 baru-baru ini semasa menjalankan pemeriksaan ke atas projek pengubahsuaian kedai di kawasan Pandan daerah tersebut.
Dalam kenyataan JIPK Kuala Belait, hari ini, keempat-empat warga asing itu dibawa ke Pejabat BPU JIPK Kuala Belait bagi siasatan dan tindakan lanjut kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah.
Hasil pemeriksaan mendapati dua orang daripadanya dipercayai menyalahi Bab 15 (1) Akta Imigresen Penggal 17 kerana telah tinggal lebih masa setelah pas imigresen mansuh.
Manakala dua lagi dipercayai melanggar Peraturan 15 (2) Peraturan Imigresen Penggal 17 iaitu bekerja bukan dengan majikan asal.
Majikan berkenaan juga diarahkan untuk hadir ke bahagian tersebut bagi siasatan dan tindakan lanjut.
Sehubungan itu, JIPK mengingatkan orang ramai bahawa jabatan berkenaan akan sentiasa menjalankan operasi, menangkap, menyiasat serta mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana orang yang menyalahi undang-undang mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan.
Ke arah aktiviti penguatkuasaan itu, JIPK mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung dengan pesalah imigresen dengan menghubungi hotline JIPK di talian 8734888 atau 8753888 (BSB) dan 8984111 (KB).