SAO PAULO, 2 DIS – Sekurang-kurangnya sembilan maut dalam rempuhan dan dua lagi cedera awal semalam dalam kekecohan susulan serbuan polis di kawasan penempatan miskin di bandar raya Sao Paolo, kata pihak berkuasa di sana.
Penduduk menyalahkan polis kerana menyebabkan rempuhan panik, lapor media tempatan.
Mangsa yang meninggal dunia termasuk seorang wanita, tujuh lelaki dan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun, kata jurucakap polis, Leftenan Kolonel Emerson Massera.
Beliau berkata unit polis tentera seramai 38 anggota melancarkan operasi di selatan kawasan miskin Paraisopolis apabila dua lelaki bermotosikal melepaskan tembakan ke arah pihak berkuasa sebelum melarikan diri ke arah parti jalanan berhampiran, sambil terus melepaskan tembakan, mencetuskan rempuhan.
Beliau berkata 5,000 orang telah berkumpul untuk menghadiri parti jalanan mingguan popular di daerah miskin di Sao Paolo dan Rio de Janeiro.
Namun ibu kepada remaja perempuan 17 tahun yang cedera memberitahu laman web G1 bahawa polis yang sepatutnya dipersalahkan.
Katanya, polis menjadi punca rempuhan selepas menutup jalan, menembak gas lada hitam dan menggunakan peluru getah.
“Anggota polis yang menyerang anak saya dengan botol kaca.
“Ketika melihat anak saya, saya tidak mengenalinya.
Wajahnya cacat dan dia kehilangan banyak darah,” kata wanita yang enggan dikenali itu.
Televisyen Globo menyiarkan video menunjukkan seorang individu ditendang anggota polis, dan berkata ia dirakamkan seorang penduduk.
Persatuan kejiranan Paraisopolis mengutuk tindakan polis itu. — AFP