Tuesday, October 8, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    9 peserta terima sijil kejurulatihan

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Bagi melengkapkan para peserta dengan pengetahuan dan kemahiran untuk menjadi jurulatih kerjaya bertauliah, Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (C3L) Universiti Brunei Darussalam (UBD) dengan kerjasama AC-ACE Creative Training Services (ACTS) telah berjaya mengungkayahkan Bengkel Pensijilan Career Coaching sekitar Julai lalu.

    Sehubungan itu, sembilan orang peserta bengkel berkenaan telah diraikan pada majlis penyampaian sijil yang berlangsung di Institut Kepimpinan, Inovasi dan Kemajuan (ILIA), UBD, baru-baru ini, di mana penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Pengarah C3L, Profesor Madya Dr Jose Hernandez Santos.

    Bengkel yang berlangsung selama dua hari pada 16 dan 17 Julai lalu itu antara lain bertujuan untuk memberikan pemahaman mengenai pendekatan empat dimensi ke arah penemuan diri, panduan langkah demi langkah untuk bimbingan, penilaian yang disahkan, alat interaktif dan bimbingan selepas pensijilan.

    Penceramah semasa bengkel berkenaan terdiri daripada Penolong Profesor Kanan UBD, Dr Nik AA Tuah; Master Behavioural Consultant dari Lifeskills Institute Pte Ltd (Singapura), Ian Tan selaku fasilitator utama bengkel; dan fasilitator dari ACTS, Audrey Choo.

    Menerusi perlaksanaannya, C3L berhasrat agar bengkel berkenaan akan membantu rakyat di negara ini untuk menjadi lebih berdaya saing di tempat kerja, sama ada di peringkat nasional mahupun global, melalui usaha kerjasama bersama ACTS.

    ACTS dengan kerjasama Lifeskills Institute Pte Ltd menyediakan latihan yang diiktiraf dan ditauliahkan oleh Institute of Training & Occupational Learning (ITOL), yang merupakan badan profesional elit United Kingdom bagi para pelatih serta profesional pembelajaran dan pembangunan. Pensijilan berkenaan diiktiraf di peringkat antarabangsa dan disokong oleh sistem pengesahan ITOL.

    Profesor Madya Dr Jose Hernandez Santos, Dr Nik AA Tuah dan para berserta bergambar ramai semasa bengkel berkenaan.- Gambar serahan UBD

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda