Wednesday, April 30, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    A.Galak tetap komited dengan lakonan

    Sekental dan seampuh semangat ‘Sarjan Misai’, iaitu watak lakonan bintang veteran ini dalam drama kepolisan popular, Gerak Khas, begitulah karakter sebenar A.Galak.

    Biarpun penyakit angin ahmar yang menyerang sejak dua tahun lalu masih belum pulih, ia bukanlah alasan menjadikan A.Galak lemah, putus asa dan meratap nasib diri. Lebih empat dekad menceburkan diri dalam bidang seni, mana mungkin insan hebat ini meninggalkan dunia lakonan yang menjadi darah dagingnya.

    Buktinya, selepas dua tahun berehat akibat penyakit dihidapi, A.Galak kembali ke gelanggang. Beliau membuat penampilan istimewa dalam drama bersiri, Gerak Khas The Finale yang telah berakhir, malam tadi.

    “Saya tidak pernah patah semangat walaupun penyakit angin ahmar membuatkan pergerakan saya terbatas.

    “Keinginan untuk terus berlakon tidak pernah surut. Malah, sepanjang dua tahun berehat, perasaan rindu untuk kembali ke lokasi tetap ada.

    “Lebih-lebih lagi apabila melihat drama atau filem lakonan saya ditayangkan di televisyen (TV). Walaupun tahap keupayaan diri agak terbatas dan badan semakin kurus kerana kurang selera makan, namun saya gagahkan diri berlakon,” katanya.

    A.Galak berkata, drama bersiri Gerak Khas The Finale adalah naskhah pertama yang dibintangi selepas keadaan kesihatan mengizinkan.

    “Mujur watak saya dalam drama itu digambarkan sedang sakit. Jadi, tidak ada masalah sangat. Lagipun tawaran datang daripada penerbit drama itu sendiri, Datuk Yusof Haslam.

    “Sebelum ini, dia pernah berjanji untuk mengajak saya berlakon selepas saya pulih. Disebabkan siri ini adalah yang terakhir, Yusof berasakan perlu untuk saya muncul dalam drama ini selain dirinya dan Datuk Rahim Razali,” katanya kepada HIP dalam temu ramah yang diatur di kediaman Yusof di Taman Melawati, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Ternyata, apa yang dilafazkan A.Galak atau nama sebenar, Zakaria Ahmad bukanlah menyedapkan hati sendiri.

    Selama ini, sebut sahaja nama A.Galak, visual misai melentik pasti terbayang. Imej itu bagaikan sudah sebati dalam dirinya. Malah, A.Galak menjadi inspirasi kepada personaliti media sosial yang sudah bergelar pelakon, Wak Doyok yang tampil dengan imej sama.

    Berkongsi rahsia di sebalik imej yang menjadi ‘tanda dagang’, A.Galak mendedahkan fesyen kumis yang unik itu diambil daripada karakter sebenar seorang anggota polis yang sering ditemuinya di jalan utama di Kuala Lumpur. – Agensi

    Biarpun penyakit angin ahmar yang menyerang sejak dua tahun lalu masih belum pulih, ia bukanlah alasan menjadikan A Galak lemah, putus asa dan meratap nasib diri. – Agensi

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda