Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Abang Johari umum inisiatif SKAS untuk rakyat Sarawak, wang saku pelajar

    KUCHING, 11 NOV – Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), satu inisiatif baharu bantuan kewangan bertujuan untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah yang terjejas akibat kenaikan kos sara hidup.

    Ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini, beliau berkata bantuan berkenaan adalah antara RM250 hingga RM800 setahun, bergantung kepada kelayakan penerima.

    “Penerima yang layak ialah rakyat Sarawak yang tinggal di Sarawak dengan pendapatan isi rumah RM5,000 dan ke bawah akan menerima bantuan bernilai RM800.

    “Sementara itu, warga emas tanpa pasangan dan anak berpendapatan RM5,000 dan ke bawah akan menerima bantuan RM400, serta orang bujang berpendapatan RM2,500 dan ke bawah akan menerima bantuan bernilai RM250,” katanya, sambil menambah bantuan berkenaan akan membantu mereka membeli barangan keperluan asas.

    Abang Johari berkata bagi tujuan berkenaan, kerajaan negeri akan memperuntukkan RM450 juta tahun depan yang memberi manfaat tidak kurang daripada 850,000 penerima.

    Kebanyakan penerima SKAS juga akan menerima sumbangan kewangan di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR). – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda