Penyanyi terkenal Britain, Adele memberi bayangan dirinya sudah bertunang dengan ejen sukan dari Amerika Syarikat (AS), Rich Paul, selepas dilapor menyulam cinta sejak tiga tahun lalu.
Perkara itu timbul apabila Adele memberikan reaksi spontan kepada seorang peminat yang menyaksikan konsert solonya di Munich, Jerman. Ketika itu, Adele memberikan reaksi apabila menyedari peminat terbabit membawa sepanduk tertera permintaan ‘will you marry me?’ (sudikah awda berkahwin dengan saya?).
Penyanyi Rolling In The Deep itu kemudian menjawab, dia tidak boleh melakukannya, lantas menunjukkan apa yang dilihat seperti cincin pertunangan, kepada penonton.
“Saya tidak boleh berkahwin dengan awda kerana saya akan berkahwin. Jadi, saya tidak boleh. Tetapi saya cukup menghargainya, terima kasih,” katanya.
Sebelum ini, Adele dilapor menjalin hubungan dengan Paul yang juga pengasas syarikat pengurusan, Klutch Sports Group yang mewakili bintang bola keranjang terkenal seperti LeBron James, Anthony Davis dan John Wall.
Gosip hubungan cinta Adele dan Paul selepas mereka bergambar pada sesi perlawanan akhir NBA pada 2021, lapor BH Online.
Beberapa bulan kemudian, Adele dan Paul mengesahkan hubungan mereka di Instagram (IG). – Agensi