Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Adik bekas PM Singapura didenda AS$296,000 kerana fitnah

    SINGAPURA, 24 MEI – Mahkamah di Singapura hari ini mengarahkan adik kepada bekas perdana menteri Lee Hsien Loong untuk membayar ganti rugi sebanyak AS$296,000 kepada dua menteri tertinggi selepas tuduhan fitnahnya mencetuskan kontroversi di negara kota tersebut.

    Catatan di Facebook berunsur fitnah oleh Lee Hsien Yang berkaitan dengan kontroversi mengenai penyewaan banglo kolonial yang luas oleh menteri luar dan menteri undang-undang, yang kedua-duanya telah dibersihkan dari sebarang salah laku selepas dua siasatan.

    Lee, 66, kini tinggal di luar negara selepas melarikan diri dari Singapura dua tahun lalu, mendakwa dirinya dianiaya secara politik oleh kerajaan ketika itu yang dipimpin oleh Lee Hsien Loong, abang sulungnya.

    Dakwaan yang dibuatnya mengenai hartanah utama yang terletak di pinggir bandar itu mencetuskan kemarahan di negara itu, di mana kebanyakan penduduk tinggal di pangsapuri tinggi yang dibina kerajaan.

    “Saya dapati defendan mengetahui bahawa perkataan yang menyinggung perasaan itu adalah palsu, dia menerbitkannya secara melulu, dan/atau tanpa mengambil kira atau mengambil peduli sama ada ia benar atau tidak,” kata Hakim Mahkamah Tinggi Goh Yihan, semasa mengumumkan jumlah ganti rugi.

    Goh mengarahkan Lee membayar ganti rugi AS$148,000 kepada setiap seorang daripada dua ahli politik itu, iaitu Menteri Luar Vivian Balakrishnan dan Menteri Dalam Negeri dan Undang-undang K. Shanmugam.

    Menteri-menteri tersebut menyamannya secara berasingan atas kesalahan fitnah dan notis mahkamah mengenai tuntutan tersebut dihantar melalui Facebook Messenger kerana Lee tidak berada di Singapura.

    Hakim mengarahkan Lee pada November untuk membayar ganti rugi kepada menteri-menteri tersebut tetapi tidak segera menyatakan jumlahnya.

    Lee telah menyertai parti pembangkang tetapi masih tidak jelas sama ada dia ingin bertanding dalam pilihan raya parlimen. – AFP

    Bekas perdana menteri Singapura Lee Hsien Loong semasa upacara angkat sumpah Lawrence Wong pada 15 Mei. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...