Oleh Daniel Lim –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Sebagai persediaan untuk Acara Berjalan Pantas Amal Pasar Kitani yang dijadualkan berlangsung pada 4 Mei ini, beberapa agensi telah tampil menghulurkan sumbangan pada 26 April lalu.
Salah sebuah agensi yang menyumbang kepada persiapan acara tersebut ialah AE Enterprise, dengan pengarah urusannya, Chai Yum Fatt, menyerahkan dana dan jersi kepada pihak penganjur, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.
Sumbangan tersebut diterima bagi pihak jabatan oleh Ketua Bahagian Industri Tanaman, Awang Hirman bin Haji Abu.
Acara berkenaan akan diadakan di Pusat Agribisnes Rimba pada 4 Mei nanti, sebagai sokongan kepada SMARTER Brunei serta Learning Ladders.
Peserta yang berdaftar boleh mengambil jersi masing-masing bermula 1 hingga 3 Mei, dari jam 8 pagi hingga 4 petang, bertempat di Dewan Melati, Pusat Agribisnes Rimba.
Maklumat lanjut mengenai larian boleh didapati melalui laman rasmi Instagram @agriculture.gov.bn.
