Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Ahli perniagaan tipu pelaburan projek perumahan tidak wujud didakwa

    BUTTERWORTH, 3 APRIL – Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Butterworth, Pulau Pinang, Malaysia, hari ini atas tujuh pertuduhan menipu seorang individu supaya melabur dalam projek perumahan yang tidak wujud membabitkan kerugian RM580,000, hampir enam tahun lepas.

    Ahmad Kamal Akbar Rahim @ Abd Rahim, 54, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani.

    Mengikut ketujuh-tujuh pertuduhan, Ahmad Kamal Akbar didakwa menipu Ibrahim Romli, 53, untuk mempercayai dia akan mendapat keuntungan di atas pelaburan projek perumahan tidak wujud sehingga  mendorong mangsa menyerahkan cek RM580,000 dalam beberapa transaksi.

    Kesemua kesalahan didakwa dilakukan antara 8 hingga 24 September 2018 di Kompleks Perniagaan Tasek Gelugor mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Asma’ ‘Amira Shahidani kemudian memohon tertuduh dikenakan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

    Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Ima Syakira Mohd Salim yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum dikenakan atas alasan anak guamnya berstatus bankrap dan tidak mempunyai pendapatan tetap selain perlu menanggung isteri dan 10 anak.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM56,000 dan menetapkan 26 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – Bernama

    Ahli perniagaan Ahmad Kamal Akbar Rahim @ Abd Rahim, 54, (dua, kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas tujuh pertuduhan menipu seorang individu supaya melabur dalam projek perumahan yang tidak wujud sehingga melibatkan kerugian RM580,000, enam tahun lepas. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...