Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Akaun Twitter Trump dikembalikan

    SAN FRANCISCO, 20 NOV – Akaun Twitter terkenal Donald Trump telah dikembalikan semula semalam selepas pemilik baharu platform itu, Elon Musk menjalankan tinjauan di mana majoriti tipis pengundi menyokong langkah itu, beberapa hari selepas bekas presiden Amerika Syarikat (AS) itu mengumumkan hasrat untuk kembali memimpin Rumah Putih.

    Akaun Trump telah diharamkan daripada platform itu awal tahun lalu kerana peranannya dalam serangan pada 6 Januari ke atas Capitol AS oleh sekumpulan penyokongnya yang berusaha untuk membatalkan keputusan pilihan raya 2020.

    “Rakyat telah bercakap. Trump akan dikembalikan semula,” ciap Musk, sejurus selepas tinjauan 24 jam Twitter dalam akaunnya berakhir.

    “Vox Populi, Vox Dei,” tambahnya, mengulangi pepatah Latin yang turut disiarkannya Jumaat lalu, yang bermaksud ‘Suara rakyat adalah suara Tuhan’.

    Akhirnya, lebih 15 juta orang – daripada 237 juta pengguna Twitter harian – mengundi sama ada mahu mengembalikan semula profil kontroversi itu, dengan 51.8 peratus menyokong dan 48.2 peratus menentang.

    Akaun Twitter bekas Presiden AS itu semakin pantas mengumpul pengikut dengan 1.3 juta pengikut baharu direkodkan dalam tempoh 40 minit sahaja, lapor Sputnik.

    Beliau kini mempunyai lebih 1.9 juta pengikut, walaupun Trump sendiri belum menulis sebarang ciapan baharu. – AFP/Bernama

    Gambar fail menunjukkan akaun Twitter Donald Trump dipamerkan di telefon bimbit di Arlington, Virginia. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...