Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Feb – Seorang pekerja syarikat tempatan dijatuhi lapan bulan penjara oleh Mahkamah Perantaraan, di sini, atas pertuduhan pecah amanah.
Hakim Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Radzuan bin Mohd Daud, 35, yang mengaku bersalah kerana menggelapkan wang berjumlah $3,009.29 milik syarikat majikannya, antara Januari dan Februari 2016.
Dia yang bertugas di Bahagian Jualan dan Pemasaran Ideal Marketing (B) Sdn Bhd turut diperintahkan untuk membayar ganti rugi sebanyak $3,009.29 dan jika gagal akan berdepan tambahan sebulan penjara.
Hakim Pengiran Masni ketika menjatuhkan hukuman berkata, hukuman denda sahaja tidak mencukupi berbanding amanah yang diberikan oleh majikan kepada tertuduh.
Tertuduh diberi kepercayaan untuk menerima pembayaran daripada pelanggan tetapi apa yang tertuduh lakukan ialah mengkhianati amanah itu, tegas Hakim Pengiran Masni sambil menambah syarikat tempat tertuduh bekerja setentunya mengalami kerugian besar jika perbuatan ‘tidak jujur’ tertuduh itu tidak dikesan. Fakta kes menyebut, antara 2 Januari dan 11 Februari 2016, tertuduh telah menerima pembayaran daripada pelanggannya bagi penghantaran ayam.
Selepas menerima pembayaran, tertuduh mengeluarkan resit kepada pelanggannya.
Tertuduh bagaimanapun tidak menyerahkan wang pembayaran itu kepada penyelaras akaun syarikat namun telah menggunakannya untuk perbelanjaan sendiri. Perbuatan tertuduh hanya terbongkar pada 15 Februari 2016 apabila syarikat itu menjalankan audit dalaman.
Laporan polis dibuat pada 16 Mac 2016 di mana tertuduh mengaku melakukan pecah amanah tersebut.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Farhanah binti Pehin Dato Haji Suhaili.