Oleh Amar Ikhwan –
Kisah misteri kali ini mengenai tiga rakan sekerja yang sanggup menempuh bahaya di hutan belantara untuk meminta nombor ekor semata-mata kerana wang.
Ketidakcukupan wang atau ingin mendapat wang dengan sekelip mata telah menimbulkan rasa tamak yang mengusai dada mereka sehingga sanggup membelakangkan agama dan maruah diri.
Lokasi yang mereka kunjungi adalah sebuah kampung yang sunyi di Daerah Belait dan sering menjadi buah mulut penduduk setempat.
MALAM RITUAL
Rahim, seorang lelaki yang sudah bekeluarga, terdesak mahu mendapatkan wang tambahan meskipun mempunyai pekerjaan yang kukuh.
Khabarnya ada satu tempat di hutan Belait yang sering menjadi tumpuan orang mencari ‘petunjuk’ untuk nombor ekor.
Mengikut cerita orang lama, barang-barang lama seperti pedang antik dan kain kafan perlu digunakan sebagai medium pemujaan.
Tanpa mempedulikan bahaya, Rahim bersama kawan-kawannya membawa pedang berkarat yang diwarisinya serta sehelai kain kafan lama.
Malam itu, hutan Belait dipenuhi dengan bunyi cengkerik dan desiran angin yang seakan-akan berbisik sesuatu. Di sebuah kawasan lapang yang gelap, Rahim dan dua rakannya mula melakukan ritual pemujaan.
“Datanglah… berikan aku petunjuk!” jerit Rahim sambil mengibarkan kain kafan. Pedang lama di tangannya berkilau samar di bawah cahaya bulan.
Tiba-tiba, angin bertiup kencang. Dedaunan berterbangan dan suasana menjadi seram.
Dari celah pokok yang gelap, satu sosok hitam muncul. Wajahnya kabur, matanya merah menyala. Suara yang garau bergema di telinga mereka.
Rahim dan rakannya tidak sempat berfikir panjang.
Dengan lutut menggigil, mereka terus melarikan diri lintang-pukang, meninggalkan barang-barang pemujaan.
Ketika dia dan rakan-rakannya berlari, mereka sempat menoleh ke belakang. Kelihatan lembaga hitam itu melayang ke arah mereka dengan tangan panjang menjulur, seolah-olah mahu menangkap mereka.
Jantung Rahim hampir terhenti. Mereka bertiga menjerit ketakutan dan terus berlari sekuat tenaga, langkah seribu menuju ke arah kampung.
NOMBOR YANG MENGUBAH HIDUP
Keesokan paginya, Rahim pulang ke rumah dengan badan yang letih dan pakaian yang koyak rabak. Ketika membuka pintu rumahnya, dia terkejut melihat sekeping kertas lusuh di atas meja. Di atasnya tertera nombor-nombor yang jelas.
Rahim tidak tahu dari mana datangnya kertas itu, tetapi dia nekad mencuba nasib dengan nombor tersebut. Siapa sangka, nombor itu benar-benar membawa tuah. Rahim menang besar dan menjadi kaya-raya dalam sekelip mata.
BALASAN MISTERI
Namun, kekayaan itu bukan tanpa bayaran. Semasa pulang bekerja pada suatu malam, sekitar waktu subuh, Rahim memandu sendirian di jalan yang sunyi. Lampu keretanya menembusi kabus tebal.
Tiba-tiba, di tepi jalan, dia melihat sosok yang pernah menghantuinya di hutan Belait.
Wajah itu sama, mata merah menyala dan senyuman menyeramkan.
Rahim menekan pedal minyak, cuba melarikan diri, tetapi sosok itu kini muncul di cermin pandang belakang. Suara garau bergema dalam keretanya.
“Kau kaya kerana aku… Tapi jangan lupa, ada hutang yang belum kau bayar.”
Rahim tidak pernah pulang dengan tenang selepas malam itu.
Setiap kali Rahim memandu pada waktu subuh, sosok itu akan muncul, seakan menuntut sesuatu yang tidak pernah diceritakan. Kekayaan yang diperoleh dari hutan Belait kini menjadi sumpahan yang menghantui hidupnya selamanya.