BANGKOK, 25 DIS – Mahkamah Thailand hari ini telah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap seorang aktivis suku bukit terkenal dari Vietnam atas kesalahan memasuki negara itu secara haram dan tinggal tanpa visa, menurut peguamnya kepada AFP.
Mahkamah di Bangkok sebelum ini memutuskan pada September lalu bahawa Y Quynh Bdap, yang telah hidup dalam buangan di Thailand sejak 2018, dibenarkan diekstradisi ke Vietnam. Dia telah disabitkan secara in absentia atas tuduhan berkaitan keganasan di negara asalnya.
Bdap didakwa menjadi dalang serangan pada Jun 2023, di mana kumpulan penyerang bermotosikal melepaskan tembakan terhadap dua pos polis di Tanah Tinggi Tengah Vietnam, mengorbankan sembilan nyawa, dalam serangan yang jarang berlaku terhadap pihak berkuasa komunis. Bagaimanapun, Bdap menafikan semua tuduhan tersebut.
Mahkamah Thailand turut mengenakan denda AS$175 terhadap Bdap kerana gagal memiliki dokumen perjalanan yang sah ketika memasuki dan tinggal di negara itu, menurut peguamnya, Nadthasiri Bergman.
Menurut keputusan mahkamah, status Bdap sebagai pelarian ‘tidak mengecualikannya daripada mematuhi undang-undang Thailand,’ kata Nadthasiri kepada AFP.
“Sebagai seorang pelarian, mendapatkan pasport dan visatidak lagi menjadi keutamaan,” katanya sambil menambah keputusan itu mencerminkan undang-undang Thailand tidak mengambil kira keselamatan pelarian politik.
Bdap telah diberikan status pelarian oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), namun dia akan kekal di penjara di Bangkok sementara pasukan peguamnya menyediakan rayuan terhadap keputusan ekstradisinya. – AFP