BELAIT, 12 DIS – Bersempena dengan Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa 2024, Pusat Pembelajran Al-Muflihun dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Al-Mashor Kampung Sungai Mau telah mengadakan program khidmat kemasyarakatan yang bertajuk program Masjidku Bersih yang telah diadakan di Masjid Al-Mashor Kampung Sungai Mau, Belait pada 24 November lalu.
Seramai 45 orang peserta yang terdiri daripada AJK takmir masjid, belia-belia dan masyarakat Kampung Sungai Mau telah menyertai aktiviti bergotong-royong dan memucang-mucang bagi membersihkan kawasan masjid tersebut.
Hadir bagi menyokong program itu ialah Pegawai Hal Ehwal Masjid, Haji Akup bin Haji Lamat.
Program dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pengasas Pembelajaran Al-Muflihun, Awangku Abdul Qayum bin Pengiran Bakar, selaku penganjur program.
Program seterusnya diikuti oleh ucapan alu-aluan daripada penganjur program dan sesi pembahagian kumpulan bagi kempen kebersihan kawasan masjid tersebut.
Penyampaian sumbangan berbentuk barangan bagi keperluan kerja-kerja pembersihan juga telah diserahkan kepada Imam Masjid Al-Mashor Kampung Sungai Mau, Pengiran Mohd Abdul Malik Syafi’ie bin Pengiran Haji Mohd Abdul Aziz.
Tujuan program ini diadakan adalah bagi memupuk semangat perpaduan antara masyarakat kampung dan sukarelawan yang menyertai agar sentiasa bersatu padu dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti yang berkebajikan dan bermanfaat.
Di samping itu, menggalakkan para peserta dan sukarelawan untuk sentiasa mementingkan kebersihan kawasan masjid dan persekitarannya kerana ia merupakan tempat beribadah.