DOHA, 27 NOV – Cristiano Ronaldo menjaringkan dua gol untuk Al Nassr dalam kemenangan 3-1 ke atas Al Gharafa di Qatar kelmarin, ketika juara Arab Saudi itu terus cemerlang dalam peringkat Elite Liga Juara-Juara AFC.
Pemain berusia 39 tahun itu membantu membawa Al Nassr ke ambang pusingan 16 terakhir dalam pertandingan kelab benua utama Asia itu, hanya memerlukan dua mata daripada tiga perlawanan terakhir kumpulan mereka.
Hanya Al Shorta, yang mempunyai dua mata dengan baki empat perlawanan lagi, boleh menafikan pasukan Ronaldo daripada melangkah ke pusingan seterusnya, selepas Persepolis seri 1-1 di Al Rayyan.
Kapten Al Nassr, Cristiano Ronaldo, pada awalnya kelihatan bakal menghadapi perlawanan yang penuh kekecewaan selepas beberapa peluang gagal dimanfaatkan pada separuh masa pertama di Stadium Al Bayt.
Namun, bintang Portugal itu akhirnya membuka jaringan hanya kira-kira 50 saat selepas separuh masa kedua bermula, apabila dia menanduk masuk hantaran Sultan Al Ghannam dari jarak dekat.
Al Nassr kemudian menggandakan kelebihan mereka melalui Angelo Gabriel, pemain baharu yang ditandatangani daripada Chelsea pada musim panas, pada minit ke-58. Enam minit kemudian, pemain Brazil itu pula menjadi penyedia dengan menghantar bola kepada Ronaldo untuk gol keduanya.
Gol itu menjadikan jumlah jaringan bekas pemain Manchester United, Real Madrid dan Juventus itu kepada empat gol dalam pertandingan baharu yang dijenamakan semula musim ini, sebelum dia digantikan pada minit ke-74.
Kemenangan itu memastikan Al Nassr kekal tidak tewas menerusi lima perlawanan di sebelah Barat kejohanan, dan menduduki tempat kedua dalam jadual 12 pasukan. – AFP