Penyanyi Rose mencipta sejarah tersendiri apabila album solonya berjudul Rosie berjaya melepasi dua bilion strim di Spotify hanya dalam tempoh 98 hari.
Kejayaan itu menjadikannya artis wanita K-Pop pertama berjaya mencipta rekod tersebut, menurut laporan mStar.
Tidak hanya itu, Rose turut memecah rekod kumpulan Blackpink menerusi album Born Pink yang mendapat jumlah strim sama dalam tempoh 355 hari.
Dia kini menyertai beberapa artis terkenal lain seperti Olivia Rodrigo dan Billie Eilish yang turut mencapai kejayaan sama.
Tidak hanya itu, Rose turut memecah rekod dipegang anggota kumpulan BTS iaitu Jungkook yang sebelum ini artis solo K-Pop terpantas mencapai satu bilion strim di Spotify iaitu 79 hari. Rose bagaimanapun mencapai kejayaan itu hanya dalam tempoh 76 hari.
Rosie menduduki tangga ketiga carta Billboard 200 pada minggu pertama ia dilancarkan dengan sebanyak 102,000 unit terjual di Amerika Syarikat.
Antara lagu yang menjadi fenomena adalah single pertama daripada album tersebut berjudul APT yang juga duet bersama Bruno Mars. – Agensi
