PARIS, 29 OKT – Carlos Alcaraz menyertai Paris Masters minggu ini dengan harapan melengkapkan tiga kemenangan di Paris pada tahun 2024, dengan menambah gelaran ATP 1000 kepada kemenangan Terbuka Perancis dan pingat perak Olimpik.
Pemain nombor dua dunia dari Sepanyol itu belum pernah mara lebih jauh daripada suku akhir dalam kejohanan itu dan tersingkir dalam pusingan pertama tahun lalu kepada pemain Rusia, Roman Safiullin.
Salah satu halangan utama untuk merebut gelaran ini tidak perlu dirisau apabila juara tujuh kali, Novak Djokovic, memutuskan untuk tidak menyertai kejohanan tersebut.
“Sasaran saya adalah untuk menutup kempen dengan satu kejayaan di Paris, atau sekurang-kurangnya meraih keputusan yang baik,” kata Alcaraz kelmarin.
“Tahun lalu, saya berkata saya perlu memahami bahawa musim masih berterusan walaupun selepas September,” ujarnya.
“Saya rasa persiapan saya tahun ini cukup baik,” tambah Alcaraz, yang baru-baru ini memenangi Terbuka China dan mara ke separuh akhir di Shanghai Masters.
“Kalender kejohanan sangat padat dan mencabar, tetapi tahun ini saya berasa lebih bersedia.
“Saya telah melakukan banyak persiapan akhir-akhir ini. Jadi, saya rasa saya bersedia untuk mencatat keputusan baik atau sekurang-kurangnya melangkah lebih jauh berbanding tahun lepas, yang saya rasa tidak terlalu sukar!” jelasnya.
Alcaraz akan beraksi di gelanggang tertutup di Bercy Arena, yang menjadi venue bagi pertandingan gimnastik dan bola keranjang pada Sukan Olimpik, menentang pemain Chile, Nicolas Jarry atau pemain Itali, Lorenzo Sonego.
“Saya sangat teruja untuk memulakan perlawanan,” kata Alcaraz, yang sebelum ini menambah gelaran Wimbledon kepada kejayaan Roland Garros miliknya.
“Saya berasa baik dari segi fizikal dan mental serta sangat gembira dengan tahap permainan saya,” tambahnya. – AFP