Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alex Agyarkwa direhatkan tiga bulan

    SHAH ALAM, 28 OGOS – Pemain tengah Selangor FC, Alex Agyarkwa terpaksa diketepikan sekurang-kurangnya tiga bulan susulan kecederaan kaki ketika perlawanan akhir Piala FA minggu lepas.

    Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata pemain kelahiran Ghana itu perlu menjalani proses pemulihan sebelum boleh kembali beraksi.

    “Mungkin dia perlu direhatkan selama tiga bulan, sebulan untuk pulih dari kecederaan dan selebihnya untuk tempoh pemulihan bagi mendapatkan kembali kecergasan sebelum boleh beraksi seperti sedia kala,” katanya ketika ditemui pemberita pada Larian Jiwa Merdeka Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) hari ini.

    Sebelum ini, pemain berusia 25 tahun itu dalam hantaran di Instagram berkongsi imej imbasan sinar-X pada kakinya tanpa memberikan sebarang perincian, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai tahap kecederaan pemain itu.

    Dr Johan Kamal berkata selain Agyarkwa yang cedera, pemain lain diberikan rehat secukupnya bagi proses pemulihan dari segi fizikal dan mental sebelum kembali meneruskan baki perlawanan Liga Malaysia musim ini.

    Pada perlawanan akhir Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil Jumaat lepas, Agyarkwa terpaksa dikeluarkan beberapa minit sebelum separuh masa tamat dan digantikan dengan penyerang Jordan Reziq Bani Hani ketika Selangor ketinggalan 0-2. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda