Monday, October 28, 2024
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aliff Aziz ucap selamat hari lahir, mohon maaf kepada Ruhainies

    Walaupun kini jarak mungkin memisahkan mereka, namun, Aliff Aziz, 33, tidak lupa menitipkan doa dan ucapan selamat hari jadi kepada teman rapat, pelakon, Ruhainies.

    Ruhainies atau nama sebenar, Ruhainies Farehah Zainul Ilyas meraikan ulang tahun ke-32 semalam dan turut menerima kiriman sejambak mawar merah daripada Aliff.

    Menerusi hantaran Instagram Story (IG) yang dikongsikan Aliff, pelakon dan penyanyi berasal dari Singapura itu memohon maaf kepada Ruhainies serta mendoakan agar wanita itu sentiasa gembira dan dilimpahi kebahagiaan.

    “Selamat hari jadi yang paling gembira buat awak dan semoga awak dikurniakan dengan keberkatan dan kebahagiaan pada hari istimewa ini.

    “InsyaAllah, semoga Allah membalas segala perkara baik yang awak lakukan. Maafkan saya atas semua yang berlaku,” tulisnya berserta emoji bunga mawar merah dan burung merpati.

    Dalam hantarannya itu, Aliff dilihat memuat naik foto bersama Ruhainies yang dirakam ketika mereka menjalani penggambaran drama Terjerat yang dibintangi bersama, lapor BH Online. Hubungan persahabatan antara Aliff dan Ruhainies difahamkan sudah terjalin kira-kira 10 tahun lalu. Malah, kedua-dua keluarga difahamkan mengetahuinya serta menerima baik.

    Pada 9 Mac lalu, Aliff dan Ruhainies menjadi perbualan hangat selepas ditangkap berkhalwat di sebuah kediaman mewah di ibu kota oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

    Kes membabitkan pasangan pelakon popular ini bagaimanapun belum selesai dan masih dibicarakan Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini.

    Pada 14 Julai lalu, Aliff sah bercerai dengan bekas isteri iaitu pelakon dan penyanyi, Bella Astillah. Mereka dikurniakan cahaya mata, Ayden Adrean, 7, serta Ara Adreanna, 4. – Agensi

    Pada 9 Mac lalu, Aliff dan Ruhainies menjadi perbualan hangat selepas ditangkap berkhalwat di sebuah kediaman mewah di ibu kota oleh JAWI. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda