Thursday, January 16, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Amaran virus JEV dikeluarkan di Australia

    SYDNEY, 15 JAN – Pihak berkuasa kesihatan di negeri Victoria, Australia, mengeluarkan amaran kepada orang ramai untuk berjaga-jaga terhadap gigitan nyamuk selepas mengesan kes virus ensefalitis Jepun (JEV).

    Jabatan Kesihatan Victoria hari ini mengesahkan bahawa program amaran awal mereka telah mengenal pasti JEV dalam dua perangkap nyamuk di bahagian utara negeri tersebut.

    Penemuan itu merupakan kes pertama penyakit yang berpotensi membawa maut itu pada musim panas kali ini.

    Sebagai langkah berjaga-jaga, jabatan tersebut mengingatkan pelancong dan penduduk tempatan di utara Victoria untuk berwaspada dan melindungi diri daripada gigitan nyamuk.

    JEV adalah sejenis flavivirus yang berkaitan dengan denggi dan demam kuning. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), satu daripada 250 jangkitan pada manusia boleh menyebabkan penyakit klinikal yang teruk, dengan kadar kematian dalam kalangan pesakit yang mempunyai simptom mencecah 30 peratus.

    Gambar Freepik

    “Virus itu boleh menyebabkan jangkitan otak yang berpotensi serius tetapi jarang berlaku dan merebak kepada manusia melalui gigitan nyamuk yang dijangkiti,” kata Ketua Pegawai Kesihatan Victoria, Dr Tarun Weeramanthri.

    Beliau menasihatkan penduduk di kawasan utara Victoria supaya menggunakan penghalau serangga dan mengehadkan masa mereka di luar rumah apabila nyamuk berada di sekeliling.

    Kerajaan negeri Victoria turut menyediakan vaksin JEV percuma untuk penduduk di 24 kawasan berisiko tinggi di kawasan utara negeri itu.

    Jabatan Kesihatan pada penghujung Disember lalu telah mengeluarkan amaran berisiko tinggi selepas satu kes manusia dikesan di utara Victoria.

    Dalam kes tersebut, seorang lelaki dari sebuah bandar 200 kilometer di utara Melbourne kini berada dalam keadaan kritikal di hospital. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda