Tuesday, May 13, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ambil kesempatan timba pengalaman

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Peserta Program Bas Belia disarankan untuk mengambil kesempatan yang diberikan dengan sebaik-baiknya untuk menimba ilmu dan pengalaman yang tidak akan diperoleh di persekitaran sekolah.

    “Bertepatan dengan tema Sambutan Hari Belia Kebangsaan pada tahun ini iaitu ‘Belia Siaga Masa Depan’, adalah untuk mempersiapkan generasi belia itu dengan ilmu, kemahiran dan sikap positif dalam mendepani cabaran-cabaran semakin sengit dewasa ini,” tekan Setiausaha Tetap (Kebeliaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Haji Zakaria bin Haji Serudin semasa berucap pada Majlis Pelepasan Program Bas Belia 2022 yang berlangsung di Kompleks Sukan Jerudong, Jabatan Belia dan Sukan, hari ini.

    Haji Zakaria turut menyeru para peserta supaya memberikan komitmen penuh dan fokus dalam semua aktiviti yang telah disusun sepanjang program itu.

    “Aktiviti-aktiviti yang telah disusun merangkumi kepada kebudayaan dan identiti di keempat-empat daerah dari segi tarian, makanan dan bahasa dialek daerah yang mungkin merupakan perkara baharu kepada peserta dari luar daerah,” ujarnya.

    Majlis perlepasan itu juga dihadiri oleh Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Haji Misle bin Haji Abdul Karim, Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly serta pegawai dan kakitangan Jabatan Belia dan Sukan.

    Peserta Program Bas Belia menyaksikan cara-cara membuat salah satu hidangan tradisional masyarakat Melayu Kedayan.
    Haji Zakaria menyempurnakan pelepasan Program Bas Belia 2022.

    Seramai 40 orang belia iaitu 21 orang belia lelaki dan 19 orang belia perempuan yang berumur antara 15 hingga 22 tahun dari keempat-empat daerah menyertai program itu yang menyaksikan penyertaan 16 orang belia dari Daerah Brunei dan Muara, dan masing-masing lapan orang dari Daerah Belait, Tutong dan Temburong.

    Haji Zakaria kemudiannya menyempurnakan pelepasan para peserta program yang meneruskan perjalanan mereka menuju ke Daerah Belait.

    Terdahulu pada sebelah pagi tadi, para peserta melawat Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang mendedahkan peluang pekerjaan atau menggalakkan mereka yang bercita-cita untuk menjadi seorang tentera.

    Mereka juga mengadakan lawatan ke Persatuan Melayu Kedayan (Pemedayan) untuk mengenali lebih dekat mengenai puak Melayu Kedayan, masakannya, kebudayaannya dan Bahasa Kedayan. Mereka berpeluang untuk mencuba masakan hebat puak Kedayan dan permainan sukan gasing.

    Program merupakan anjuran KKBS dengan kerjasama Kementerian Pertahanan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Kementerian Pendidikan, Jabatan Tenaga dan jabatan-jabatan daerah.

    Ia berlangsung selama lima hari bermula hari ini sebagai salah satu program sampingan bagi memeriahkan lagi Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-17 yang telah disambut pada 9 Ogos lalu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda