Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Program Bas Belia 2022 labuh tirai

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Adib Noor

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Seramai 40 orang belia telah berjaya menamatkan Program Bas Belia 2022 dan menerima sijil penyertaan masing-masing pada majlis penutup yang berlangsung di Dewan Belalong, Daerah Temburong, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan sijil kepada para peserta ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Kesukanan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Setiausaha Tetap (Kebeliaan), Haji Zakaria bin Haji Serudin; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah; Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim serta pegawai-pegawai kanan KKBS yang lain.

    Pada majlis itu, Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Haji Mohammad Rosfazilah bin Haji Yusly selaku pengerusi program menyampaikan kata alu-aluanya dan diikuti dengan ucapan daripada wakil peserta program dari Daerah Brunei dan Muara serta Daerah
    Tutong iaitu Dayangku Asqina Nur Aiman binti Pengiran Mohamad Aminuddin, Awang Mohammad Nur Aiman bin Mohamad Yusri dan Awang Nor Hameezul Hafiz bin Nor Hashim.

    Kemudian, majlis diteruskan dengan persembahan daripada peserta program serta tayangan video Program Bas Belia dan diteruskan dengan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta serta sijil penghargaan kepada para penaja program oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta.
    Para peserta membuat persembahan pada majlis penutup program lima hari berkenaan.

    Program Bas Belia 2022 merupakan penganjuran kali ketiga oleh Jabatan Belia dan Sukan, KKBS sebagai program sampingan bagi memeriahkan lagi Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-17 yang telah disambut pada 9 Ogos lalu.

    Ia merupakan kesinambungan kepada Program Pertukaran Belia Daerah-daerah yang mula diperkenalkan pada 2016 dan dievolusikan kepada Program Bas Belia sejak 2018.

    Berlangsung selama lima hari bermula 30 Ogos lalu, program diadakan dengan kerjasama Kementerian Pertahanan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Kementerian Pendidikan, Jabatan Tenaga dan jabatan daerah di keempat-empat daerah.

    Seramai 40 orang belia iaitu seramai 21 orang lelaki dan 19 orang perempuan berumur antara 15 hingga 22 tahun dari keempat-empat daerah telah menyertai program berkenaan, dengan 16 daripadanya dari Daerah Brunei dan Muara, lapan dari Daerah Belait, lapan dari Daerah Tutong dan lapan dari Daerah Temburong.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...