MOSCOW, 23 APRIL – Necmeddin Bilal Erdogan, anak kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Konfederasi Ethnosport Dunia, menegaskan beliau tidak berhasrat untuk menceburi dunia politik, sebaliknya lebih cenderung kepada bidang pendidikan dan inisiatif masyarakat sivil.
“Saya tiada cita-cita politik,” kata Erdogan dalam temu bual bersama agensi berita TASS.
“Saya sering diajukan soalan ini, tetapi saya mahu kekal dalam ruang bukan kerajaan, memimpin masyarakat sivil dan memberi inspirasi kepada golongan muda untuk memperjuangkan isu yang mereka yakini.
“Apa juga kerjaya yang mereka pilih, jika mereka benar-benar prihatin terhadap sesuatu isu sosial, mereka harus melibatkan diri dalam masyarakat sivil, menjadi aktivis, menjadi pembela nilai.”
Erdogan berkata beliau menumpukan sebahagian besar masanya kepada kerja pendidikan yang melibatkan sekolah, universiti, program biasiswa dan anugerah akademik.
“Saya menyokong golongan terbaik dan paling cemerlang untuk mencapai cita-cita dan impian mereka, serta menggalakkan usaha menghidupkan semula dan memelihara budaya agar warisan kita dapat diwariskan kepada generasi akan datang. Inilah yang saya ingin lakukan sepanjang hayat saya,” katanya. – Bernama
