Wednesday, September 11, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Anak Sabah perlihat keunikan busana Malaysia di Olimpik Paris

    TENOM, 11 OGOS – Mengenakan pakaian Kadazandusun dan bertanjak motif Jalur Gemilang bagi memberi sokongan membara kepada atlet negara pada Olimpik Paris 2024, Yap Ken Vun dari Tenom menarik perhatian lensa kamera pada temasya itu.

    Malah, video Yap, 36, menari tarian tradisional Sumazau sambil mengenakan pakaian tradisi itu dan video lain antaranya berbaju Melayu pada Sukan Olimpik itu turut tular dalam media sosial, sekali gus menjadi tarikan warga siber di seluruh dunia, memperlihatkan keindahan budaya dan tradisi Sabah juga Malaysia ke mata dunia.

    Gambar-gambar anak Sabah itu mengenakan busana berkenaan sambil mengibarkan Jalur Gemilang di mercu tanda utama kota itu, Menara Eiffel juga menjadi kebanggaan rakyat Negeri di Bawah Bayu itu dan juga Malaysia.

    Menurut Yap, pengembaraan ke kota Paris ialah sebuah misi peribadi yang bukan sahaja untuk menyokong atlet Malaysia pada temasya paling berprestij itu, tetapi juga untuk memperkenalkan budaya tradisional Sabah dan Malaysia kepada dunia.

    Eksekutif sumber manusia itu pada asalnya mahu mencipta sebuah kelainan menghadiri acara sukan berkenaan dengan menyerlahkan pakaian Kadazandusun dan Malaysia di negara lain, namun dia tidak menyangka usahanya menarik perhatian ramai dan mencipta sensasi melalui media sosial.

    “Saya ingin membuat kelainan tetapi tidak sangka pula gambar dan video saya menjadi tular. Semestinya saya bangga lebih-lebih lagi identiti Sabah serta Malaysia itu dipapar dalam televisyen secara langsung dan jadi tontonan seluruh dunia,” katanya dihubungi Bernama.

    Yap merupakan antara penonton yang bersorak memberi sokongan hebat kepada atlet Malaysia di gelanggang badminton, dan juga atlet olahraga negara.

    Paling tidak dilupakan katanya, ketika dia dapat menyaksikan sendiri bagaimana beregu lelaki negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, serta pemain perseorangan profesional negara Lee Zii Jia berjuang bermati-matian untuk meraih pingat gangsa buat Malaysia. – Bernama

    Yap Ken Vun berbusana Kadazandusun dan bertanjak Jalur Gemilang bergambar dengan berlatarbelakangkan Menara Eiffel. – FB KEN VUN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda