MADRID, 29 APRIL – Ketua jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti dilaporkan telah bersetuju untuk mengambil alih tugas mengendalikan pasukan kebangsaan Brazil, menurut beberapa laporan media Sepanyol kelmarin.
Jurulatih veteran dari Itali itu masih berbaki setahun dalam kontraknya bersama kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, namun selepas tersingkir di suku akhir Liga Juara-Juara oleh Arsenal dan tewas kepada seteru tradisi Barcelona dalam saingan Copa del Rey, dia dijangka akan meninggalkan Santiago Bernabeu.
Ancelotti sebelum ini tidak menyembunyikan kemungkinan untuk berpisah dengan Madrid dan menyatakan bahawa masa depannya adalah perkara yang akan dibincangkan dalam minggu-minggu akan datang selepas kekalahan kepada Barca pada Sabtu lalu.
Media Sepanyol melaporkan bahawa Ancelotti akan mula mengendalikan skuad Brazil menjelang kelayakan Piala Dunia 2026 yang dijadual bermula Jun ini dan dijangka meninggalkan Madrid sebelum kejohanan Piala Dunia Kelab yang akan berlangsung di Amerika Syarikat (AS) musim panas ini.
Brazil sebelum ini memecat Dorival Junior susulan kekalahan besar 1-4 kepada Argentina pada bulan Mac dan kini berada di tangga keempat dalam carta kelayakan zon Amerika Selatan untuk kejohanan di AS, Mexico dan Kanada.

Ancelotti mengetuai Real Madrid memenangi kejuaraan berganda – Liga Juara-Juara dan La Liga – pada musim lalu, dengan pemain Brazil seperti Vinicius Junior dan Rodrygo Goes menjadi tonggak utama pasukan. Dia juga merupakan antara jurulatih paling berjaya dalam sejarah kelab tersebut.
Dalam penggal pertamanya bersama Madrid, dia memacu pasukan merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara ke-10. Sepanjang dua penggalnya, Ancelotti telah memenangi kejohanan itu sebanyak tiga kali bersama Los Blancos. Dia dipecat pada 2015 namun kembali pada 2021 selepas pengunduran Zinedine Zidane.
Musim ini, prestasi pertahanan Madrid dilihat goyah dan kini ketinggalan empat mata di belakang pendahulu La Liga, Barcelona, dengan kejuaraan liga menjadi satu-satunya harapan mereka untuk merangkul trofi utama.
Ancelotti juga pernah mengendalikan beberapa kelab utama Eropah lain termasuk AC Milan, Chelsea dan Paris Saint-Germain. – AFP