Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Angka korban di Gaza hampir cecah 30,000 orang

    SEMENANJUNG GAZA, 28 FEB – Angka kematian rakyat Palestin yang dilaporkan dalam perang Gaza hampir mencecah 30,000 hari ini ketika pertempuran berlanjutan di wilayah yang dikuasai pejuang Hamas walaupun pengantara menegaskan gencatan senjata dengan Israel mungkin dicapai hanya dalam beberapa hari lagi.

    Seramai 91 orang lagi terbunuh dalam serangan bom Israel semalam, kata Kementerian Kesihatan.

    Pengantara dari Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat (AS) telah berusaha mencari jalan mencapai gencatan senjata di tengah-tengah pertempuran yang sengit, dengan perunding cuba mendapatkan jeda selama enam minggu dalam perang hampir lima bulan itu.

    Selepas beberapa siri diplomasi, pengantara berkata perjanjian akhirnya mungkin boleh dicapai yang dilaporkan termasuk pembebasan beberapa tebusan Israel yang ditahan di Semenanjung Gaza sejak serangan Hamas pada 7 Oktober sebagai pertukaran beberapa ratus tahanan Palestin yang ditahan oleh Israel.

    “Harapan saya adalah menjelang Isnin depan kita akan mengadakan gencatan senjata tetapi kita belum selesa,” kata Presiden AS, Joe Biden, kelmarin.

    Warga Palestin mendukung mayat anaknya yang terbunuh dalam pengeboman Israel di Semenanjung Gaza pada 26 Februari. – AP

    Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed al-Ansari berkata Doha ‘menaruh harapan, tidak semestinya optimis, bahawa kami boleh mengumumkan sesuatu’ sebelum Khamis.

    Namun dia memberikan amaran bahawa ‘keadaan masih tidak menentu di lapangan’.

    Doha telah mencadangkan jeda pertempuran akan datang sebelum permulaan Ramadan, bulan puasa umat Islam yang bermula pada 10 atau 11 Mac, bergantung kepada kalendar bulan.

    Pejuang Hamas telah mendesak pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Gaza, tuntutan yang ditolak sepenuhnya oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

    Tetapi sumber Hamas, yang tidak mahu namanya disiarkan, berkata perjanjian itu mungkin menyaksikan tentera Israel meninggalkan ‘bandar dan kawasan berpenduduk’, membenarkan beberapa penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal kembali dan bantuan kemanusiaan diteruskan. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...