Monday, April 28, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Angka korban letupan pelabuhan Iran meningkat kepada 28

    TEHRAN, 27 APRIL – Angka korban akibat letupan di Pelabuhan Shahid Rajaee di selatan Iran, meningkat kepada 28 orang, manakala sekurang-kurangnya 750 lagi cedera, menurut pihak berkuasa hari ini.

    Menteri Dalam Negeri, Eskander Momeni, dalam temu bual bersama penyiar tempatan memaklumkan angka kematian meningkat daripada lapan kepada 28 orang.

    Beliau berkata, 200 daripada mangsa yang cedera telah dibenarkan keluar dari hospital, manakala 300 lagi masih menerima rawatan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

    Menurut Momeni, kebakaran berjaya dikawal daripada merebak ke kawasan lain menerusi langkah pengasingan, dengan bantuan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) serta sokongan logistik dari wilayah-wilayah berhampiran.

    Beliau turut menegaskan bahawa sistem operasi pelabuhan dan kastam tidak mengalami kerosakan serius, membolehkan aktiviti pemuatan, pelepasan kargo dan urusan kastam diteruskan.

    Beberapa lelaki melalui runtuhan selepas letupan besar menggegarkan sebuah pelabuhan berhampiran bandar pelabuhan Selatan Bandar Abbas, Iran, pada 26 April. – AP

    Pasukan bomba masih giat berusaha memadamkan kebakaran itu, dengan Momeni berkata keutamaan selepas operasi menyelamat kini adalah memastikan kebakaran terkawal sepenuhnya.

    Bantuan tambahan dari bandar-bandar lain, termasuk dari Tehran turut dihantar ke Bandar Abbas dan pihak berkuasa menjangkakan keadaan akan stabil dalam beberapa jam.

    Terdahulu, Presiden Masoud Pezeshkian dalam satu kenyataan di platform X menzahirkan rasa dukacita dan simpati kepada mangsa, serta mengarahkan siasatan penuh dijalankan terhadap insiden itu.

    Beliau turut melantik Momeni sebagai wakil khasnya untuk menyelia tindak balas di lapangan dan memastikan koordinasi berjalan lancar.

    Sementara itu, Pentadbiran Kastam Iran mengarahkan semua pejabat kastam menangguhkan penghantaran eksport dan transit ke Kastam Shahid Rajaee sehingga diberitahu kelak. Letupan berlaku sekitar tengah hari waktu tempatan di kawasan dok kontena pelabuhan itu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda