BANDAR SERI BEGAWAN, 22 DIS – Pasukan Angkasa All Star muncul juara selepas menewaskan Angkasa Master XL dalam perlawanan bola sepak anjuran Persatuan Bola Sepak Kampung Saba Angkasa, baru-baru ini di Padang Jabatan Belia dan Sukan, Berakas.
Perlawanan yang diadakan bagi merebut Trofi Angkasa FC bersempena penubuhan dua tahun Angkasa FC itu juga mencatat sejarah sebagai perlawanan yang berjaya menyatukan pemain veteran dan muda.
Acara tersebut melibatkan pemain-pemain veteran serta pemain muda berbakat yang suatu ketika dahulu pernah beraksi dalam kelab-kelab bola sepak Persatuan Kampung Saba, Perkasa.
Apa yang lebih menarik, para pemain veteran, walaupun sudah berusia, masih mampu mempamerkan gaya permainan dan kemahiran yang mengagumkan.
Antara pemain veteran yang turut menyertai termasuk Haji Shamsuddin, Mesli, Haji Jawi, Haji Mohammad, Soffriana, Haji Ahat dan Ahmad, yang menunjukkan aksi cemerlang meskipun usia mereka sudah mencecah 60 tahun.
Walaupun pergerakan mereka agak terbatas, mereka masih mampu membuat hantaran bola yang tepat dan efektif, serta memberi impak besar kepada pasukan mereka.
Semangat dan dedikasi yang ditunjukkan oleh para pemain veteran itu memberikan inspirasi kepada generasi muda Purih Saba, sebagai contoh teladan dalam dunia bola sepak.
Selain itu, perlawanan berkenaan diadakan bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara anak-anak Purih Saba, dan memberi ruang untuk saling berbagi pengalaman dalam sukan bola sepak.