Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Dengan cabaran-cabaran menjadi semakin tanpa sempadan, pemimpin-pemimpin perniagaan dari seluruh rantau Asia Pasifik menyeru pemimpin-pemimpin APEC untuk mengambil tindakan tegas bagi meningkatkan pertumbuhan inklusif dan mampan.
Seruan itu dibuat oleh ahli-ahli Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) dalam pertemuan dengan pemimpin-pemimpin APEC dalam dialog tahunan yang berlangsung di Lima, Peru pada 15 November lalu.
Pengerusi ABAC, Julia Torreblanca dipetik menyatakan dengan ekonomi global kekal berdaya tahan, ekonomi-ekonomi APEC sedang bergelut dengan inflasi, ketidaksamaan ekonomi, kadar faedah yang tinggi serta keperluan mendesak untuk meningkatkan pelaburan bagi masa depan yang hijau dan berdaya tahan iklim.
Dalam hubungan itu, tambahnya, cadangan yang dikemukakan adalah direka untuk membantu APEC bertindak balas dengan cepat kepada cabaran-cabaran berkenaan, menjana peluang bagi warga dan perniagaan di seluruh rantau.
Beliau berkata bahawa mereka ingin membolehkan akses saksama demi manfaat ekonomi, menyokong perniagaan dengan asas perdagangan mantap serta memastikan pertumbuhan berdaya tahan dan mampan.
ABAC juga menggesa APEC untuk mengutamakan keperluan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) khususnya yang diterajui oleh usahawan asli dan wanita. Majlis berkenaan juga mencadangkan dasar-dasar untuk mempromosikan pendigitalan dam menyediakan akses saksama kepada pembiayaan termasuk modal teroka bagi usahawan wanita.
ABAC juga memandang peralatan digital sebagai kunci kepada pengintegrasian lebih banyak perniagaan ke dalam peluang dan perlindungan yang diberikan oleh ekonomi formal serta menghubungkan PMKS kepada rantaian nilai global, memupuk peluang yang lebih baik bagi penduduknya.
Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Brunei, Pengiran Aki Ismasufian bin Pengiran Haji Ibrahim berkata bahawa delegasi ABAC Brunei diberikan penghormatan untuk menghadiri Dialog ABAC dengan pemimpin-pemimpin yang diadakan di Lima, Peru, baru-baru ini.
Beliau menyatakan acara signifikan itu menyediakan sebuah platform bagi ahli-ahli untuk terlibat secara langsung dengan pemimpin-pemimpin berpengaruh dunia, memupuk perbincangan bermakna terhadap isu-isu kritikal perdagangan dan ekonomi global.
Menerusi interaksi berkenaan, ABAC Brunei mengesahkan semula komitmennya kepada mempromosikan pertumbuhan ekonomi mampan, memupuk inovasi dan meningkatkan kolaborasi serantau dalam rangka kerja APEC.
Penyertaan delegasi berkenaan menggariskan peranan aktif Brunei dalam memajukan dasar-dasar ekonomi berdaya tahan dan inklusif yang bermanfaat kepada komuniti meluas Asia-Pasifik.
Pengiran Aki Ismasufian menyatakan penghargaan atas peluang yang diberikan untuk menyumbang kepada dialog penting itu dan akan meneruskan kolaborasi dengan pemimpin-pemimpin APEC untuk menangani cabaran-cabaran bersama dan membuka peluang-peluang masa depan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Exceltech Solutions Sdn Bhd, Awang Hafriz Fayadh berkata mewakili Negara Brunei Darussalam pada Mesyuarat ABAC, Sidang Kemuncak APEC SME dan Sidang Kemuncak APEC CEO di Lima, Peru, merupakan peluang yang amat besar untuk berinteraksi dengan penggubal dasar dan pemimpin-pemimpin perniagaan global.
Pertemuan itu, jelasnya, menegaskan pentingnya kolaborasi dalam memupuk inovasi dan pertumbuhan ekonomi inklusif khususnya bagi PMKS Brunei, dengan tumpuan strategik kepada kepelbagaian dan kemampanan, yang terletak di kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang-peluang yang muncul dalam rantau APEC.
Beliau menyatakan amat teruja dengan komitmen bersama kepada memajukan transformasi digital dan memperkasakan perniagaan untuk berkembang maju dalam landskap global yang cepat berubah.
“Kini menjadi tanggungjawab bersama kita untuk menterjemahkan pandangan ini kepada strategi yang boleh diambil tindakan untuk masa depan ekonomi Brunei,” tambah beliau.