Thursday, January 16, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aplikasi BruHealth 5.0 dilancarkan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JAN – Aplikasi Bruhealth Versi 5.0 telah dilancarkan di Central Concourse, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas (ICC) oleh tetamu kehormat majlis, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pagi tadi.

    Majlis berkenaan dimulakan dengan bacaan Surah AI-Fatihah dan Doa Selamat oleh Guru Ugama Terlatih, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Yang Mulia Ustaz Khairunnisa bin Haji Zainin.

    Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan dikuti dengan pelancaran dan tayangan video Aplikasi BruHealth Versi 5.0. Kemudiannya diteruskan dengan lawatan oleh tetamu kehormat di pameran-pameran yang disediakan.

    Antara ciri baharu pada aplikasi Bruhealth 5.0 menurut Yang Berhormat Dato Menteri adalah tambahan kepada Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan (PPKK) iaitu Saringan Kanser Pangkal Rahim. Tiga program lain yang sudah tersedia iaitu saringan Kanser Payudara, Kanser Kolorektal dan Penyakit Kardiovaskular. Proses saringan kini boleh dilakukan secara mudah dan tepat pada masanya melalui tempahan temujanji melalui aplikasi BruHealth.

    Atas & Bawah:Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyampaikan ucapan dan melancarkan aplikasi berkenaan.

    Selain itu, ciri Indeks Kesihatan juga dimuatkan dengan pendekatan yang lebih disesuaikan dengan peribadi atau personalised . Melalui soal selidik yang lebih ringkas tepat mengambil kira pemakanan, tekanan, kesihatan fizikal dan kualiti tidur, saranan kesihatan yang diberi disesuaikan dengan gaya hidup masing-masing.

    Ciri Rutin pula membolehkan aplikasi mencatat senaman, pengambilan makanan, tempoh tidur, tahap pengambilan air dan lain-lain lagi yang membolehkan pengguna mengawal rutin harian mereka ke arah gaya hidup lebih sihat.

    Yang Berhormat Dato Menteri turut mengimbas peranan BruHealth sejak diperkenal 5 tahun lalu ketika  BruHealth menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat di negara ini. Sewaktu pandemik COVID-19, BruHealth berfungsi sebagai salah satu penyelesaian utama untuk melindungi keselamatan dan kesejahteraan rakyat Brunei.

    Yang Berhormat Dato Menteri juga menyentuh mengenai fasa endemik apabila BruHealth juga turut berubah dan memberi tumpuan kepada membina masa depan yang lebih sihat dan terhubung. Inisiatif seperti BN on the Move National Challenge telah menggalakkan gaya hidup sihat, dengan rakyat mencapai 80 bilion langkah secara kolektif.

    Turut hadir di majlis berkenaan adalah Ahli-ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan dan juga Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

    Gambar ramai Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bersama dengan antara yang hadir.

    Sebanyak sembilan petak pameran Kementerian Kesihatan tersedia untuk dikunjungi dan menyediakan peluang menyertai cabutan bertuah dengan hadiah yang menarik. Antara pameran dengan tema tersendiri ialah Kaunter Selamat Datang dan Penebusan, Hab Sokongan BruHealth 3 ,Permainan Interaktif, Advanced Tech, Penyampaian Perkhidmatan Kesihatan 6, DMDTX (Balance Program), Saringan HPV, Penilaian Risiko dan BruHeath, Rutin dan Cabaran Oyen.

    Semua di atas: Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham melawat pameran-pameran yang disediakan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda