Sunday, March 16, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Apple Detox mengandungi bisacodyl

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Kementerian Kesihatan memaklumkan orang ramai supaya tidak menggunakan Apple Detox Capsule dan Green Viagra 9000mg Tablet yang telah didapati dicemari dengan ubat-ubatan barat yang tidak diisytiharkan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, hasil ujian makmal Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Saintifik mendapati bahawa Apple Detox Capsule dicemari
    dengan Bisacodyl manakala itu, Green Viagra 9000mg Tablet (dikilangkan Hongkong Zhengyang Biological Technology Ltd) dicemari dengan Sildenafil.

    Kenyataan menegaskan bahawa bahan-bahan pencemar dalam produk-produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

    Menurut kenyataan itu, Bisacodyl adalah ubat yang dimakan untuk merawat sembelit.

    Penggunaanya tanpa pengawasan boleh menyebabkan kekejangan perut, merasa mual, muntah-muntah, cirit-birit dan hypokalaemia (tahap potassium yang rendah).

    Sildenafil pula adalah ubat yang digunakan untuk merawat mati pucuk yang memerlukan preskripsi doktor. Antara kesan-kesan sampingan apabila memakan ubat-ubat tersebut ialah merasa mual, muntah-muntah, muka kemerahan dan pening. Dalam kes-kes yang teruk, ia juga boleh menyebabkan peningkatan yang luar biasa dalam degupan jantung, kehilangan pendengaran secara tiba-tiba dan sawan.

    Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan bagi penjualan produk-produk tersebut. Berikutan dapatan ini, produk-produk berkenaan adalah dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

    Orang ramai yang telah membeli atau menggunakan produk-produk tersebut dinasihatkan untuk memberhentikan pengunaannya dengan serta merta. Jika mereka mengalami kesan buruk dan merasa tidak sihat selepas memakan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

    Apple Detox Capsule yang dicemari bisacodyl.
    Green Viagra 9000mg Tablet dicemari sildenafil.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda