Penyanyi Ara Johari mendakwa tidak terkecuali menerima gangguan seksual menerusi media sosial.
Ara atau nama sebenar, Nurfarrah Izatie Johari, 27, mendakwa dia kerap menerima mesej lucah daripada peminat lelaki sejak beberapa tahun lalu.
Justeru itu, Ara tidak menafikan tertekan, lantas mengambil pendekatan untuk tidak mempedulikan komen negatif, lapor BH Online.
“Saya selalu dapat mesej lucah, selain serangan seksual sebelum ini buat saya lebih berjaga-jaga.
“Saya juga elak untuk berkongsi maklumat peribadi dan lokasi saya berada. Jujurnya, saya amat tertekan apabila selalu dapat mesej lucah sebab saya tidak layan benda seperti ini.

“Apabila dapat mesej sebegini, selalunya saya buat tidak tahu dan abaikan sahaja,” katanya pada sidang media pelancaran lagu Menjaga Jodoh Orang Lain, baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Ara melancarkan single berjudul Menjaga Jodoh Orang Lain, sentuhan komposer Indonesia, Ilham Baso yang sebelum ini pernah menyumbang karya kepada Judika.
Lebih istimewa, gubahan muzik lagu berkenaan mendapat sentuhan pemuzik terkenal Indonesia, Adrian Rahmat Purwanto.
Ara mengaku bertuah dapat bekerja dengan pemuzik handal Indonesia.
“Ini suatu pengalaman baharu dalam karier seni saya. Mereka banyak bekerja dengan nama besar seperti Mahalini, Lyodra dan Keisya Levronka. Alhamdulillah, urusan rakaman lancar.
“Bekerja dengan mereka mudah dan pantas. Jujurnya, saya jatuh cinta ketika kali pertama dengar ‘demo’ lagu ini.
“Secara kebetulan, saya sedang patah hati. Apabila dengar lagu ini rasa sakit menusuk hati.
“Saya yakin sesiapa yang mendengar tersentuh terutama mereka yang sedang putus cinta dan bekas kekasih sudah berkahwin dengan orang lain,” katanya yang terbang ke Jakarta, Indonesia bagi proses rakaman lagu. – Agensi