Penyanyi Ara Johari, 27, sedang melakukan eksperimen gaya dengan penampilan lebih feminin agar tampak lebih segar.
Ara atau nama sebenar, Nurfarrah Izzatie Johari memilih tampil lebih feminin berbanding imej rock yang pernah dibawa pada awal kemunculannya dalam industri muzik.
“Sekarang saya hendak tukar fesyen. Saya mahu cuba menjadi lebih feminin dan elegan, tetapi mengikut kesesuaian majlis.
“Saya lakukan ini sebab tidak mahu berada pada kedudukan terlalu selesa dalam industri muzik. Saya berpendapat sudah-sudahlah dengan penampilan agak ganas.
“Tapi, kalau diikutkan apabila pergi ‘show’ saya kena pakai seluar kerana watak saya di pentas adalah rock. Kalau pakai gaun, tidak kena pula.
“Kalau acara fesyen, mungkin saya akan pakai gaun dan seumpamanya. Saya ikut keselesaan juga,” katanya pada sidang media Konsert Rentas Masa, baru-baru ini.
Tidak hanya daripada segi penampilan, Ara yang popular dengan lagu Menjaga Jodoh Orang Lain mengakui, juga bereksperimen dengan genre muzik.
Ara mahu cuba menghasilkan lagu yang dekat dengan pendengar dan diharapkan percubaan itu memberi manfaat dalam perkembangan kerjaya seninya, lapor BH Online.
“Jika lihat sekarang, memang platform TikTok sedang naik dan kena ikut selera audiens.
Saya lihat orang ramai lebih suka lagu galau, sedih dan putus cinta.
“Jadi, saya ambil peluang ini untuk hasilkan lagu galau. Mungkin saya akan keluarkan lagu rap dan bekerjasama dengan penyanyi rap.
“Sebab itu, saya berani tampil dengan lagu Menjaga Jodoh Orang Lain. Saya mahu ikut selera pendengar cuma jika trend dangdut, saya fikir tidak sesuai. Saya bukanlah penyanyi yang ke arah genre itu,” katanya. – Agensi