Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Aramco diarah kekalkan kapasiti pengeluaran pada 12 juta bpd

    RIYADH, 30 JAN – Arab Saudi telah mengarahkan firma gergasi minyak, Aramco untuk mengekalkan kapasiti pengeluaran minyaknya pada 12 juta tong sehari (bpd), mengabaikan peningkatan yang dirancang, kata firma itu hari ini.

    “Aramco mengumumkan bahawa ia telah menerima arahan daripada Kementerian Tenaga untuk mengekalkan kapasiti mampan maksimum (MSC) pada 12 juta tong sehari” dan bukannya meningkatkannya sehingga 13 juta tong sehari, kata firma itu dalam satu kenyataan.

    “Syarikat itu akan mengemas kini panduan perbelanjaan modalnya apabila keputusan tahun penuh 2023 diumumkan pada Mac.”

    Arab Saudi adalah pengeksport minyak mentah terbesar di dunia dan Aramco adalah permata ekonomi kerajaan Teluk.

    Keuntungan Aramco dijangka membiayai program pembaharuan ekonomi dan sosial besar-besaran Putera Mahkota Mohammed bin Salman yang dikenali sebagai Wawasan 2030, bertujuan meletakkan asas bagi masa depan pasca minyak.

    Riyadh mengumumkan pertambahan kapasiti pengeluaran yang dirancang pada Oktober 2021, pada bulan yang sama ia berjanji untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2060 – sekali gus menimbulkan sikap was-was daripada aktivis alam sekitar. Aramco telah berjanji untuk mencapai pelepasan karbon ‘sifar bersih operasi’ menjelang 2050. Ia terpakai kepada pelepasan yang dihasilkan secara langsung oleh tapak perindustrian Aramco, tetapi bukan CO2 yang dihasilkan apabila pelanggan membakar minyak Saudi di dalam kereta, loji tenaga dan relau mereka.

    Pengumuman hari ini tidak dijangka memberikan kesan serta-merta ke atas pengeluaran atau eksport. – AFP

    Gambar fail menunjukkan tangki simpanan kelihatan di kilang Jiddah Utara di fasiliti minyak Aramco di Jiddah, Arab Saudi pada 21 Mac 2021.- AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...