Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Kempen derma darah sebagai hasrat kemanusiaan

    Oleh Salawati Haji Yahya –
     
    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Dalam sama-sama menyahut seruan untuk meningkatkan bekalan darah yang amat diperlukan bagi menyelamatkan nyawa, Brunei Press Commercial Printing Services  (CPS) dengan kerjasama Jerudong Park Medical Centre (JPMC), telah menganjurkan kempen derma darah di bangunannya di Beribi, hari ini.
     
    Beberapa orang kakitangan syarikat berkenaan yang memberikan sokongan terhadap kempen tersebut telah berkongsi pe-ngalaman serta nasihat sebelum dan selepas menderma darah.
     
    Dayang Norhazirah binti Haji Zainudin berkata, beliau kali pertama menderma darah pada 2006 dan sehingga hari ini telah berjaya menderma sebanyak 11 kali.
     
    “Kali pertama menderma semasa bertugas di Smart Telanai, di mana pada awalnya hanya ingin mencuba sahaja tapi setelah merasa selesa selepas menderma darah, dari hanya untuk mencuba berubah kepada hasrat menjadi salah seorang penderma aktif,” jelasnya.
     
    Beliau turut menyarankan kepada yang ingin menderma darah supaya memastikan mengambil sarapan pagi dahulu selain mengambil makanan yang berkhasiat dan mendapatkan tidur yang cukup sebelum menderma darah.
     
    “Dengan menderma darah, ia bukan saja dapat membantu menambah bekalan darah tetapi secara tidak langsung ia dapat membantu menyelamatkan nyawa dan membantu mereka yang memerlukan darah pada waktu kecemasan,” ujarnya.
     
    Manakala itu, bagi Awang Mohamad Rafie bin Lajim pula, itu merupakan kali kedua beliau menyertai kempen seumpamanya setelah kali pertama menderma di Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dua tahun yang lalu.
     
    Walaupun masih baharu, jelasnya, beliau berhasrat untuk menjadi penderma aktif pada masa akan hadapan bagi membantu mereka yang memerlukannya.
     
    Beliau berharap, dengan kerja amal yang dilakukan itu akan dapat membantu menyelamatkan nyawa semasa kecemasan. Turut hadir semasa kempen berkenaan ialah Pengurus Besar Brunei Press Sdn Bhd, Anafiah binti Omar dan Pengurus Kanan Kewangan dan Operasi Brunei Press Sdn Bhd, Suzie Houng.
     
    Antara yang menyertai dalam kempen derma darah CPS dengan kerjasama JPMC. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...