MOSCOW, 31 OKT – Duta Argentina ke Amerika Syarikat (AS), Gerardo Werthein dilantik sebagai Menteri Luar yang baharu, kata jurucakap presiden Manuel Adorni.
“Menteri Luar Argentina yang baharu ialah Gerardo Werthein,” kata Adorni di platform X.
Terdahulu pada Rabu, media Argentina melaporkan bahawa Presiden Argentina, Javier Milei mengarahkan peletakan jawatan Menteri Luar Diana Mondino selepas Argentina mengundi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyokong penarikan balik sekatan AS terhadap Cuba. Terdahulu pada hari itu, Perhimpunan Agung PBB menerima pakai resolusi tahunannya yang menyeru AS untuk menarik balik sekatan ekonomi, komersial dan kewangan terhadap Cuba.
Milei membuat keputusan itu selepas delegasi Argentina ke PBB menyokong gesaan untuk menghapuskan sekatan ke atas Havana, berbeza dengan pendirian dua sekutu utama Buenos Aires di PBB iaitu Israel dan AS, menurut akhbar Argentina, Infobae. – Bernama