MANCHESTER, 25 APRIL – Kunjungan Arsenal ke Manchester City pada Khamis ini digambarkan sebagai penentu kepada kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan The Gunners kini bergelut meneruskan momentum untuk menewaskan juara bertahan itu.
Anak buah Mikel Arteta akan bertandang ke Etihad dengan kelebihan lima mata di puncak liga, namun ramai yang melihat gelaran itu sebagai milik City yang memiliki baki dua perlawanan dalam tangan selain kelebihan bermain di tempat sendiri.
Arsenal mungkin mengumpul kelebihan 11 mata beberapa minggu sebelum ini untuk memberikan tekanan kepada City ketika pasukan lawan itu cuba mengimbangi usaha pemburuan gelaran treble, iaitu Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara dan Piala FA.
Sebaliknya, barisan pemain muda Arteta menunjukkan prestasi kurang berpengalaman dalam pemburuan kejuaraan tersebut apabila terikat seri ketiga-tiga perlawanan sebelum ini dan membenarkan City mengawal nasib mereka.
Arsenal sebelum ini mensia-siakan peluang selepas mendahului 2-0 di Liverpool dan West Ham selain mempamerkan kebangkitan daripada ketinggalan 1-3 untuk mengikat keputusan seri 3-3 ketika menentang Southampton.
Masalah konsisten dalam ketiga-tiga perlawanan memperlihatkan kelemahan Arsenal untuk bertahan.
Ketiadaan William Saliba akibat kecederaan belakang memberi tamparan hebat dengan pemain Perancis itu mungkin juga tidak akan beraksi Khamis ini. – AFP
